Aeroflot gantung penerbangan ke Sri Lanka


Pihak berkuasa Sri Lanka berkata sebuah pesawat Aeroflot dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike atas perintah Mahkamah Komersial Colombo sebagai tindak balas kepada pemfailan pertikaian komersial oleh Celestial Aviation Trading 10 Limited dari Ireland. – Gambar EPA, 4 Jun 2022.

SYARIKAT penerbangan Russia, Aeroflot menggantung penerbangan ke Colombo selepas pihak berkuasa Sri Lanka menahan pesawatnya.

Syarikat penerbangan itu mengambil keputusan sedemikian “disebabkan penerbangan ke Sri Lanka tidak alami sebarang halangan dan ini satu situasi yang sukar dipercayai,” lapor agensi berita Russia TASS pada Sabtu, memetik kenyataan syarikat penerbangan itu.

Sebuah pesawat Aeroflot A330 dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandranaike pada Khamis susulan perintah Mahkamah Tinggi Komersial.

Mahkamah Colombo bertindak terhadap aduan yang difailkan syarikat pemajakan pesawat Celestial Aviation Trading Limited Ireland terhadap Aeroflot.

Pesawat itu dilarang meninggalkan negara itu sehingga 16 Jun dan perbicaraan di mahkamah dijadual berlangsung pada 8 Jun.

Syarikat penerbangan Russia itu, hanya mengendalikan beberapa laluan antarabangsa yang terhad akibat sekatan negara Barat, bagaimanapun tetap meneruskan penerbangan ke Colombo sejak April lalu.

Kementerian Luar Russia memanggil Duta Sri Lanka Janitha Abeywickrama Liyanage di negara itu pada Jumaat bagi mengemukakan bantahan berhubung penahanan pesawat itu, lapor Sputnik. – Bernama, 4 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen