KERAJAAN Malaysia tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan dengan Russia berkaitan penerbangan terus antara kedua-dua negara oleh syarikat penerbangan Russia, Aeroflot selain eksport semikonduktor dan elektronik ke negara itu.
Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata sebagai negara yang terbabit dengan perdagangan antarabangsa, Malaysia terbuka kepada mana-mana syarikat penerbangan untuk beroperasi di negara ini.
Pada masa sama, eksport semikonduktor dan elektronik juga tidak menyaksikan sebarang perbincangan atau hubungan antara kerajaan kedua-dua negara dan sebaliknya ia lebih kepada hubungan sektor perniagaan.
“Saya nak jelaskan ini kerana bimbang nanti ada mana-mana pihak yang salah faham dan kepentingan Malaysia mungkin terjejas,” katanya kepada media dalam satu temu bual di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menyangkal laporan agensi berita Sputnik pada hujung April yang memetik duta Malaysia ke Russia Bala Chandran Tharman sebagai berkata, Aeroflot akan mengadakan penerbangan terus antara Saint Petersburg atau Moscow dan Kuala Lumpur tidak lama lagi.
Dalam laporan itu, Bala Chandran juga dipetik berkata, Malaysia akan mempertimbang peluang untuk menjual semikonduktor dan elektronik kepada Russia selain institusi kewangan Malaysia sedang mengkaji sistem pemesejan kewangan Russia dengan terperinci dan bersedia menyertainya jika memenuhi beberapa kriteria.
Saifuddin berkata, pihaknya juga meneliti laporan berita itu dan mendapatkan maklum balas daripada Bala Chandran dan didapati ada perkara yang disebut dalam temu bual itu dipetik di luar konteks.
Berikutan laporan Sputnik itu, beberapa media asing melaporkan tindakan Malaysia membelakangkan sekatan ekonomi antarabangsa terhadap Russia kerana konfliknya dengan Ukraine.
Sekatan yang dikenakan oleh negara Barat khasnya turut melarang eksport semikonduktor ke Russia. – Bernama, 7 Mei, 2022.
Komen