Badut politik dan kecelaruan pembangkang 


Fakhrurrazi Rashid

PERTAMANYA, saya ingin tegaskan bahawa kenyataan “women aren’t born to be a leader” (wanita tidak dilahirkan sebagai seorang pemimpin) daripada anak presiden Umno itu satu dakwaan yang tidak masuk akal. Saya percaya, ramai wanita juga tidak bersetuju dengan kenyataan ini. 

Tidak perlulah hujah ini dipanjangkan lagi dengan statistik atau jadual panjang lebar. Hari demi hari, kepimpinan wanita di Malaysia kian berkembang dan kepakaran mereka amat diperlukan untuk memajukan negara. Cuma, sasaran untuk melibatkan wanita dalam barisan utama pemimpin negara masih perlu dilipatgandakan.  

Tetapi, amat mengecewakan apabila berduyun-duyun ahli Parlimen pembangkang mengkritik anak presiden Umno itu. 

Mereka menyerang dan mengkritik habis-habisan kenyataan tidak masuk akal itu dengan harapan mencapai political mileage. Sedangkan, mereka hanya menyerang seorang “badut politik” yang cuba mengalih perhatian ahli Parlimen pembangkang pada isu yang lebih besar.  

Badut politik boleh difahami sebagai watak yang membuat orang ketawa atas kejelekannya. Bak kata penulis Indonesia, Seno Gumira Ajidarma, “badut politik ini bukanlah tawa kebahagian yang wajib disyukuri.” 

Mengapa saya kata kritikan ahli Parlimen pembangkang kepada “badut politik” ini tidak ada kesan besar?

Pertama, beliau tidak mempunyai jawatan penting dalam parti malah pejabat awam. Maka, apa yang dia katakan seperti “wanita bukan pemimpin” tidak akan memberi kesan besar kepada politik negara. 

Kedua, serangan bertubi-tubi ahli Parlimen pembangkang hanya memenuhi hasratnya untuk menjadi popular di dalam media sosial dan orang awam. 

Ketiga, tahap pemikiran anak presiden Umno itu tidaklah sekufu dengan taraf pemikiran ahli Parlimen yang sepatutnya mengetengahkan perkara yang lebih signifikan kepada rakyat.  

Dari sisi yang berbeza, bukankah lebih baik kenyataan anak presiden Umno itu dibalas oleh pemimpin sayap wanita atau pemimpin wanita muda dalam parti? Dan bukankah lebih baik ahli Parlimen pembangkang sepatutnya memberi fokus kepada isu yang lebih kritikal berbanding badut politik ini?

Perangkap badut politik 

Pemimpin politik pembangkang seharusnya lebih matang dalam membaca isu tertentu dan bukan sekadar membesarkan isu yang remeh. Berpada-padalah dalam sindir-menyindir politik kerana perkara ini kepakaran cybertrooper bukan ahli Parlimen. 

Mungkin parti pembangkang lupa, bagaimana mereka dikelirukan oleh “badut politik” bernama Najib Razak sewaktu pilihan raya negeri Johor ke-15 (PRN15) tiga bulan lepas.

Kebanyakan pemimpin politik pembangkang menyerang Najib Razak habis-habisan di setiap ceramah di Johor sehingga lupa mengangkat idea dan dasar sendiri untuk ditawarkan kepada rakyat. Sedangkan Najib Razak hanya bekas perdana menteri. Kleptokrasi, dan orang yang sedang berhadapan kes di mahkamah yang mahu menjadi tukang formula dan pelawak bagi menaikkan rasa emosi pembangkang. 

Kecuaian ini telah menyebabkan mereka terlungkup di Johor dan BN pula kembali menjadi “Abang Besar”. Sebab itu, tenaga dan masa parti pembangkang menyerang “badut politik” ini tidak berkesan. 

Suka atau tidak, sekurang-kurangnya Najib sedar bahawa dia pernah buat silap. Dia mengaku bahawa BN tidak boleh tunggu lama mengadakan pilihan raya seperti yang dibuatnya pada PRU14. Kesedaran ini juga telah menyatukan puak-puak bermasalah dalam BN dan Umno untuk mendesak perdana menteri mengadakan PRU15 dengan segera. 

Persoalannya, apa yang parti pembangkang sedar selepas PRU14, khususnya selepas dikhianati rakan-rakan sendiri semasa rampasan kuasa Langkah Sheraton?

Pembangkang sepatutnya gunakan ruang yang ada untuk menambah baik dasar dan hala tuju yang sebelum ini gagal menawan hati rakyat. Sekiranya parti pembangkang menawarkan solusi konstruktif dan melipat gandakan komunikasi bersama rakyat, sudah pasti keyakinan rakyat itu akan datang kembali kepada mereka walaupun dalam kadar sedikit. 

Janganlah selalu diulang siar kepada rakyat bahawa anda semua tidak sempat membawa perubahan kerana sekejap menjadi kerajaan. Rakyat akan mula bertanya, jika pentadbiran Ismail Sabri mampu laksanakan pelbagai inisiatif pada masa yang singkat, maka apa alasan pembangkang untuk kata tidak ‘sempat’ laksanakannya?

Audit forensik dah buat?

Parti pembangkang sekarang perlu tumpukan kepada kebobrokan pentadbiran Ismail Sabri hari ini sehingga ekonomi rakyat terjejas, bukan melayan badut politik semata-mata. Dan mereka harus sedar, parti pembangkang telah terperangkap dengan permainan badut politik selepas PRU14 hingga sekarang. 

Apa yang menyedihkan, sebahagian daripada pemimpin pembangkang rela menjadi badut daripada pemimpin berjiwa rakyat. Ironinya, badut politik semakin yakin menang kerajaan, tetapi parti pembangkang pula semuanya mengundurkan diri untuk bertanding PRU15. 

Sebenarnya sasaran parti Pembankang sepatutnya ke arah pentadbrian Ismail Sabri yang cacamarba dalam menguruskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Jika situasi ini pun tidak berjaya di garab parti pembangkang, apa lagi yang ada untuk diperjuangkan? 

Dalam erti kata lain, letaklah visi dan matlamat itu dalam agenda menjadi kerajaan semula dengan imej dan idea yang meyakinkan. Mungkin, apa yang diperlukan parti pembangkang seperti Pakatan Harapan (PH) adalah “audit forensik” untuk mengkaji kelemahan dasar dan strategi politik yang kian hari kian bercelaru.  

Audit forensik ini mungkin dapat memberi gambaran yang jelas kepada pemimpin pembangkang tentang kelemahan dan tindakan selanjutnya. Jika ia betul-betul dilaksanakan, sudah pasti ada jalan yang lebih baik berbanding membesarkan agenda “khemah besar” yang kian gemuk tapi isinya tidak sihat serta dipersoalkan rakyat. 

Hakikatnya, Malaysia sedang menuju PRU15. Jika parti pembangkang sedar diri dan fokus kepada isu rakyat dalam kerangka yang besar, sudah pasti ia dapat meyakinkan pengundi, menyokong mereka. Jika tidak, BN akan terus mara ke Putrajaya atas kecuaian parti pembangkang menumpukan sepenuh tenaga untuk meyakinkan rakyat.

Menjelang PRU15, apakah parti pembangkang sudah bersedia atau terus meratib masa ini tidak sesuai kerana Covid-19 dan rakyat hidup susah? Adakah mereka fikir BN peduli akan isu-isu ini? Tentu sekali tidak. – 4 Jun, 2022.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen