KEMENTERIAN Pendidikan tidak seharusnya secara aktif memadam dan menyekat komen daripada calon guru kontrak yang menuntut penjelasan mengapa 90% tidak diambil, kata Teo Nie Ching.
Teo merujuk kepada keputusan kementerian untuk mengurangkan 90% calon guru daripada program kontrak perkhidmatan (COS) 2021.
“Saya menerima banyak maklum balas daripada calon bahawa komen mereka telah dipadamkan oleh admin laman Facebook Menteri Pendidikan Radzi Jidin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Malah ada yang disekat oleh admin.”
Ahli Parlimen Kulai itu berkata KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) tidak sepatutnya bertindak sedemikian dan perlu mengadakan sesi dialog.
“Calon-calon masih menunggu peluang untuk berdialog dengan menteri dan SPP supaya semua soalan mereka dapat dijawab secara jujur dan profesional,” kata Teo.
Semalam, Teo mempersoalkan sama ada benar 90% daripada calon tidak diambil walaupun menunggu enam bulan untuk mengetahui keputusan temu duga mereka.
Komen mengenai artikel yang dimuat naik di laman Facebook The Malaysian Insight menyaksikan ramai yang menuntut penjelasan.
Pengguna Aida Isma Idris berkata: “Begini kah sikap seorang Menteri Pendidikan yang profesional??? Takut tampil dan memberi penjelasan. Siap menyekat/block rakyat dekat facebook apabila bersuara.
Seorang lagi pengguna Facebook Nia Zulaika berkata, “Dr Radzi Jidin jangan jadi pengecut. Sila tampil beri penjelasan.”
Malah ada yang mengatakan mereka merasakan hak mereka telah dirampas.
Temuduga COS 2021 untuk pengambilan secara one-off guru Gred DG41 telah dijalankan dari 1 hingga 14 November.
Keputusan temu duga itu sepatutnya diumumkan pada 27 November lalu tetapi tertangguh sehingga Sabtu lalu.
Pada hari yang sama keputusan COS keluar, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin mengumumkan suruhanjaya itu bersetuju untuk melanjutkan kontrak 2,600 guru yang dilantik pada pengambilan Jun 2020. – 1 Jun, 2022.
Komen