Mengapa 90% calon guru kontrak tak lulus temu duga, soal Teo


Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching menggesa KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan mengadakan dialog dengan calon COS 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2022.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) perlu mengadakan sesi dialog bagi menjelaskan keputusan untuk tidak mengambil 90% calon guru kontrak perkhidmatan (COS) 2021, kata Teo Nie Ching.

Bekas timbalan menteri pendidikan itu berkata calon COS 2021 telah menunggu selama 6 bulan untuk dapat keputusan temuduga, dan layanan yang diberi oleh KPM tidak wajar.

“Adakah benar bahawa lebih 90% calon COS gagal pada ambilan ini?

“Adakah benar bahawa kuota asal 5,000 telah dikurangkan kepada 2,400? Jika ya, apa sebab kuota dikurangkan?” soalnya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Kulai itu juga bertanya adakah benar mata tiada seorang pun calon yang lulus temu duga bagi subjek Bahasa Melayu.

“Saya menggesa KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) supaya mengadakan dialog dengan calon COS 2021 bagi menjawab semua soalan di atas dengan profesional dan telus.

“Jangan merampas pucuk harapan anak-anak muda ini untuk mengejar cita-cita mendidik anak bangsa,” katanya.

Tawaran bagi pelantikan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 hanya dikeluarkan sekali sahaja dan temu duga bagi pengambilan 2021 telah dijalankan bermula 1 hingga 14 November tahun lalu.

Keputusan sepatutnya diumum pada 27 November lepas, tetapi tertangguh sehingga Sabtu lalu. 

Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin juga pada Sabtu mengumumkan KPM melanjutkan kontrak 2,683 guru COS pengambilan 2020 yang akan tamat pada 9 Jun ini.  – 31 Mei, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen