UUM tarik larangan, pelajar dibenar sertai solidariti buat Vinosiny


Vinosiny, 20, seorang pelajar perakaunan ditemui meninggal dunia di dalam biliknya di kampus UUM Sintok di Kedah. – Gambar ihsan R. Sivakumar, 31 Mei, 2022.

UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) menarik balik perintah larangan untuk menghalang pelajar daripada bercakap secara terbuka atau menghadiri acara berkaitan kematian pelajar S Vinosiny.

Universiti menjelaskan hari ini bahawa pelajar dibenarkan menyertai acara tetapi mengingatkan supaya sentiasa berhemah dalam apa jua tindakan mereka.

“Pihak universiti tidak menghalang mana-mana pelajar daripada terlibat dalam sebarang aktiviti yang menunjukkan solidariti terhadap kematian mendiang Vinosiny.

“Bagaimanapun, pihak universiti menasihatkan para pelajar agar sentiasa berhemah dalam apa jua tindakan memandangkan kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa,” kata Jabatan Komunikasi Korporat UUM dalam satu kenyataan hari ini.

Penjelasan itu dibuat berikutan kenyataan UUM pada Jumaat lepas bahawa mereka akan melarang pelajar mengadakan acara menyalakan lilin bagi menghormati Vinosiny.

Universiti itu juga didakwa mengancam untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pelajar yang melanggar perintah itu.

Vinosiny, 20, seorang pelajar perakaunan ditemui meninggal dunia di dalam biliknya di kampus UUM Sintok di Kedah.

Keluarganya mendakwa pelajar itu meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik tetapi polis masih menunggu laporan bedah siasat.

Bapanya R. Sivakumar membuat laporan polis terhadap polis itu dengan alasan kemungkinan kecuaian oleh pentadbir.

Dia juga sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap universiti itu. – 31 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen