HIDANGAN kegemaran rakyat Malaysia- roti canai dan teh tarik- akan menjadi lebih mahal kerana pengendali restoran sedang bergelut dengan kenaikan harga bahan mentah.
Pengendali restoran India Muslim dan India memberitahu The Malaysian Insight yang sebilangan restoran sudah menaikkan harga roti canai dan teh tarik dan lebih ramai dijangka berbuat demikian pada Jun depan.
Harga akan naik sekitar 10% hingga 15% untuk semua caj restoran dan mereka berkata roti canai yang kini berharga RM1.60 sekeping boleh naik sehingga RM2 dan teh tarik boleh naik kepada RM2 atau RM2.50 berbanding harga semasa RM1.80.
Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali Taib Khan berkata setakat ini ahli persatuan masih belum menaikkan harga makanan mereka.
“Kami memang dengar harga roti canai dan lain-lain di kedai mamak akan naik.
“Untuk masa ini kami akan cuba kekalkan harga kami. Tetapi kami tidak tahu untuk berapa lama lagi. Jika harga barang terus naik kami akan pertimbangkannya (naikkan harga). Maksimum kenaikan harga adalah 10%,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tambahnya, pada masa sekarang mereka akan cuba mengekalkan harga jualan yang berwajaran untuk orang ramai.
“Jika harga tepung terus naik, kami akan pertimbangkan (naikkan harga). Kami cuba memberikan harga terbaik jadi kami tidak akan kejar untung tetapi marjin jumlah jualan.
“Kami tak mahu bebankan orang kerana semua orang sedang bermasalah. Perniagaan mula nak naik balik sekarang, tetapi satu-satunya isu yang kami hadapi adalah kekurangan pekerja.”

Jawahar berkata pada Januari tahun ini, seguni tepung 25kg berharga RM49.90 dan pada Mei ia naik sehingga RM62.90. Manakala harga mentega pula naik daripada RM85 kepada RM100.
Persatuan itu pada masa sekarang mempunyai kurang 10,000 ahli dan sejak pandemik melanda 15% ahlinya sudah gulung tikar.
Kebergantungan Malaysia kepada import makanan menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup yang berlaku sekarang.
Gangguan kepada bekalan rantaian makanan disebabkan perang di Ukraine dan kejatuhan ringgit juga menjadi antara sebab melonjaknya harga makanan.
Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (Primas) J Suresh pula berkata ahlinya berhasrat menaikkan harga.
“Kami akan naikkan harga kerana harga barangan naik mendadak. Ada restoran sudah menaikkan harga dan yang lain mungkin berbuat demikian bulan depan.
“Kenaikan harga bergantung kepada lokasi restoran. Kami menjangkakan kenaikan 15% untuk semua makanan.
“Sekurang-kurangnya 10% restoran sudah menaikkan harga mereka.”

Suresh berkata pada masa sekarang mereka mempunyai 1,500 ahli di seluruh negara.
Tambahnya, seguni tepung 20kg dulunya berharga RM41 dan kini RM68, sementara harga minyak masak enam bulan lepas adalah RM55. Sekarang untuk sepeket minyak masak 17kg harganya melonjak lebih RM148.
“Kami harap kerajaan boleh menyediakan beberapa subsidi dalam bentuk bantuan tunai atau subsidi untuk minyak, tepung dan barangan lain.”
Kata Suresh lagi, mereka juga sudah meminta untuk berjumpa dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tiga minggu lalu dan sekarang masih menunggu jawapan.
Presiden Persekutan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Marimuthu Nadason berkata jelas sekarang yang kerajaan telah gagal menguruskan ekonomi dengan baik.
“Ini harganya yang kita perlu bayar kerana dasar yang lemak. Saya bersetuju yang semuanya (harga makanan) telah naik.
“Bagaimana mereka (pengendali restoran) hendak berniaga? Saya mahu merayu kepada persatuan (restoran) yang mahu menaikkan harga melakukannya dengan munasabah.”
Tambahnya isu keselamatan makanan sepatutnya menjadi usaha dan dasar jangka panjang, tetapi negara kini menyaksikan perubahan kerajaan sebanyak tiga kali dalam tempoh kurang lima tahun.
“Kami mahu menasihati pengguna untuk menguruskan kewangan mereka dengan baik. Kita perlu mengubah gaya penggunaan (barangan) dan berbelanja kita.
“Ini akan membantu mengurangkan penderitaan mereka (rakyat).” – 30 Mei, 2022.
Komen