PENIAGA makanan di Melaka diberi amaran supaya tidak menjadikan kebanjiran pelancong ke Melaka sebagai alasan menaikkan harga makanan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka Norena Jaafar berkata ia kerana pihaknya menerima aduan berkaitan kenaikan harga tidak munasabah di beberapa restoran di Ayer Keroh.
“Kami menerima aduan malah sudah memberikan notis kepada pengusaha restoran yang menaikkan harga tidak munasabah dan pemeriksaan juga dilakukan.
“Kami tidak mahu kenaikan harga makanan kerana pelancong datang ke Melaka menjadi satu isu sebab kami tahu kos sara hidup di sini sedikit rendah berbanding negeri lain,” katanya.
Tegasnya, antara alasan cubaan peniaga menaikkan harga adalah untuk menampung kerugian dialami mereka selama dua tahun susulan pandemik Covid-19 namun beliau menegaskan ia bukan alasan kerana semua pihak terkesan sepanjang tempoh itu.
“Kami juga percaya peniaga ini bukan degil tetapi mencuba nasib dengan menaikkan harga antara RM2 hingga RM3 dengan kehadiran pelancong walaupun alasan yang diberikan harga barang mentah meningkat sedangkan ia naik sedikit dan masih terkawal,” katanya.
Norena berkata, penguat kuasa KPDNHEP menjalankan operasi mengejut pada Khamis selepas menerima aduan daripada pelanggan mengenai kenaikan harga makanan bermasak di sekitar Ayer Keroh.
“Kami mengeluarkan dua notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap pengusaha dua restoran susulan aduan mengenai caj harga makanan tidak masuk akal.
“Notis bertulis itu perlu dijawab peniaga atau pemilik dalam tempoh tujuh hari dan sekiranya gagal tindakan boleh dikenakan. Jika didapati bersalah, peniaga boleh dikenakan kompaun antara RM100 hingga RM10,000 bagi kesalahan pertama mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya. – Bernama, 14 Mei, 2022.
Komen