Majlis Peguam anjur protes berhubung 'ugutan terhadap kehakiman'


Alfian Z.M. Tahir

Mesyuarat agung luar biasa Majlis Peguam hari ini meluluskan usul untuk mengadakan protes aman terhadap dakwaan ugutan terhadap kehakiman susulan siasatan SPRM ke atas hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Mohd Ghazali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2022.

MAJLIS Peguam Malaysia akan turun ke jalan raya sebagai protes terhadap dakwaan ugutan badan kehakiman berikutan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Mohd Ghazali.

Presidennya Karen Cheah memberitahu pemberita usul untuk mengadakan protes secara aman telah diluluskan oleh peguam semasa mesyuarat agung luar biasa (EGM) petang ini.

“Majlis Peguam mengutuk sekeras-kerasnya cara yang tidak pernah berlaku sebelum ini di mana SPRM memulakan siasatan secara terbuka terhadap hakim mahkamah atasan dan mendedahkan nama hakim tanpa penutupan yang wajar, yang sama dengan tindakan ugutan terhadap badan kehakiman,” kata Cheah.

“Pihak Peguam Malaysia hendaklah mengambil langkah segera dan perlu untuk menganjurkan dan mengetuai protes aman pada masa dan tempat yang difikirkan sesuai. Kami menggesa peguam negara, sebagai penjaga kepentingan awam, untuk mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi badan kehakiman.”

Awal bulan ini, sekumpulan bekas presiden Peguam Malaysia menggesa kepimpinan semasa Majlis Peguam mengadakan “Walk for Justice” bagi mempertahankan badan kehakiman terhadap dakwaan ugutan.

Melalui petisyen, mereka berkata pihak tertentu dalam kejadian baru-baru ini telah menunjukkan sikap tidak menghiraukan kebebasan badan kehakiman, dan terdapat beberapa kejadian yang didakwa sebagai ugutan.

Mengulas mengenai siasatan SPRM terhadap Nazlan sebelum ini, Cheah memberitahu The Malaysian Insight, pengasingan fungsi pendakwa raya dan peguam cara negara akan membuka ruang untuk tadbir urus serta ketelusan yang lebih baik.

SPRM bulan lalu mengesahkan membuka siasatan terhadap Mohd Nazlan berhubung dakwaan sejumlah wang yang dikatakan masuk ke akaun peribadinya.

Mohd Nazlan menafikan tuduhan itu yang dibuat terhadapnya oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin yang kini hidup dalam buangan di United Kingdom dan membuat laporan polis.

Mohd Nazlan adalah hakim bicara yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas tujuh tuduhan jenayah salah guna kuasa,  pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Seramai 623 ahli Majlis Peguam telah mendaftar untuk menghadiri EGM hari ini dan resolusi itu telah dilaksanakan dengan majoriti yang tinggi, kata Cheah, menambah pemegang jawatan dalam Majlis Peguam akan bertemu pada Ahad untuk membincangkan tarikh dan tempat protes itu.

“Berdasarkan sentimen, ramai nyatakan minat untuk berjalan, ramai yang akan sertai,” katanya.

Cheah mengulangi yang Peguam Negara Idrus Harun mempunyai peranan yang perlu dimainkan dalam menegakkan kebebasan badan kehakiman. Beliau berkata salinan resolusi hari ini akan dihantar ke pejabat Idrus.

Gesaan untuk mengadakan himpunan solidariti dengan Nazlan juga pernah disebut oleh bekas duta Malaysia ke Belanda, Dennis Ignatius.

Ignatius dalam artikelnya menyifatkan reaksi Majlis Peguam dalam kes Mohd Nazlan sebagai “mengecewakan”, menambah ia “berdalih dengan kata-kata”.

Beliau menggesa Majlis Peguam segera menganjurkan satu lagi perarakan bagi membantah dakwaan fitnah terhadap badan kehakiman, seperti yang mereka lakukan pada September 2007 dan bukannya hanya mengeluarkan “kenyataan yang lembut dan pro forma”.

Dalam protes pada September 2007, kira-kira 800 peguam berarak ke pejabat perdana menteri untuk menuntut pembaharuan kepada badan kehakiman negara selepas skandal tercetus berhubung dakwaan campur tangan politik dalam pelantikan hakim. – 27 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen