Asingkan tugas peguam negara demi ketelusan, kata Majlis Peguam


Raevathi Supramaniam

Peranan peguam negara sebagai penasihat dan sebagai pihak yang mengemukakan pertuduhan jenayah bertentangan antara sama lain, kata Majlis Peguam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2022.

PENGASINGAN fungsi pendakwa raya dan peguam cara negara akan membuka ruang untuk tadbir urus serta ketelusan yang lebih baik, kata pengerusi Majlis Peguam Karen Cheah.

Beliau mengulas isu pengasingan kuasa ini berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Kita tahu pesuruhjaya SPR dilantik oleh pihak eksekutif dan kertas siasatan akan dikendalikan oleh peguam negara yang juga lantikan eksekutif.

“Jadi kita bercakap tentang dua lantikan eksekutif yang menjalankan siasatan ke atas badan kehakiman.

“Kita mahu kuasa ini diasingkan supaya lebih bertanggungjawab dan bebas,” katanya kepada The Malaysian Insight.

SPRM bulan lalu mengesahkan membuka siasatan terhadap Mohd Nazlan berhubung dakwaan sejumlah wang yang dikatakan masuk ke akaun peribadinya.

Mohd Nazlan adalah hakim bicara yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas tujuh tuduhan jenayah salah guna kuasa,  pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau juga kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib.

Mohd Nazlan menafikan tuduhan itu yang dibuat terhadapnya oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin yang kini hidup dalam buangan di United Kingdom dan membuat laporan polis.

Pengerusi Majlis Peguam Karen Cheah berkata pengasingan fungsi pendakwa raya dan peguam cara negara akan membuka ruang untuk tadbir urus serta ketelusan yang lebih baik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 Mei, 2022.

Menurut Cheah, peranan peguam negara sebagai penasihat dan sebagai pihak yang mengemukakan pertuduhan jenayah bertentangan antara sama lain.

“Pada umumnya peguam negara buat dua kerja – menasihati kerajaan dan mengemuakakan pertuduhan ke atas orang yang didakwa buat salah.

“Dua perkara ini boleh jadi bertembung kerana akan tiba masanya apabila peguam negara terpaksa mengemukakan pertuduhan terhadap orang tertentu dan sekiranya orang itu memegang kuasa atau duduk dalam kerajaan, mungkin ada konflik langsung atau kemungkinan berat sebelah, dan menyukarkan keputusan sama ada hendak didakwa atau tidak.

“Kalau kita asingkan dua peranan itu dan ada orang yang berbeza memegang jawatan berkenaan, tadbir urus negara ini akan jadi lebih baik dan lebih telus,” kata Cheah.

Cadangan pengasingan kuasa peguam negara ini dijanjikan oleh pentadbiran Pakatan Harapan yang menang Pilihan Raya Umum ke-14 dan sempat mentadbir Putrajaya selama 22 bulan sebelum bubar susulan percaturan politik Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Baru-baru ini, Peguam Negara Idrus Harun dikritik kerana menarik balik pendakwaan terhadap pegawai tinggi syarikat minyak dan gas Serba Dinamik Holdings Bhd.

Disember lepas, Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengemukakan pertuduhan terhadap pengarah dan pegawai Serba Dinamik kerana memberi maklumat salah kepada Bursa Malaysia. 

Ia merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 369(a)(B) Akta Pasaran Modal Dan Perkhidmatan 2007 dan membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda maksimum RM3 juta.

SC juga memperolehi waran tangkap ke atas CEO dan pengarah urusan Serba Dinamik Mohd Abdul Karim Abdullah.

Bagaimanapun awal bulan ini pertuduhan itu digugurkan dan diganti dengan kompaun RM3 juta selepas Pejabat Peguam Negara menerima representasi yang dikemukakan oleh Serba Dinamik dan tertuduh.

Dalam penjelasannya Idrus berkata pertuduhan ke atas empat eksekutif Serba Dinamik tidak sesuai atau tidak wajar diteruskan berikutan kesan ekonomi yang akan berlaku.

Katanya, kesan pertuduhan terhadap Serba Dinamik tidak seimbang dengan tahap kesalahan teruk yang didakwa dilakukan oleh syarikat itu.

“AGC mendapati bahawa keputusan mengkompaun kesalahan Serba Dinamik adalah satu bentuk hukuman yang memadai untuk kesalahan yang dikatakan telah berlaku, setelah mengambil kira hal keadaan kes ini,” katanya.

Cheah enggan mengulas penjelasan Idrus mengenai pengguguran pertuduhan terhadap Serba Dinamik. – 19 Mei, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen