ADALAH tidak boleh diterima apabila Putrajaya membiarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) tidak berfungsi tanpa sebarang pesuruhjaya baharu selama sebulan, kata kumpulan masyarakat sivil.
Lapan kumpulan hak asasi manusia dalam satu kenyataan bersama berkata ia adalah tanda kegagalan kerajaan membiarkan hak asasi manusia diabaikan
“Tanpa pesuruhjaya, Suhakam tidak dapat memainkan peranan penting yang dimainkannya di Malaysia.
“Mereka tidak boleh membuat kenyataan, cadangan kepada kerajaan atau mengadakan inkuiri awam. Hak asasi manusia terabai,” kata kumpulan itu.
Pelantikan baharu pesuruhjaya oleh Yang di-Pertuan Agong atas saranan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kini harus dilakukan tanpa berlengah lagi, kata kumpulan itu.
Tempoh bagi semua pesuruhjaya sebelum ini berakhir pada 26 April.
Pemilihan bakal pengerusi dan pesuruhjaya Suhakam juga penting bagi menentukan masa depan dan keberkesanan institusi hak asasi manusia.
“Dulu sejak wujudnya Suhakam keberkesanannya tidak begitu ketara tetapi ia berubah selepas Hasmy Agam (2010-2016) dan kemudiannya Razali Ismail (2016-2019) dilantik sebagai pengerusi,” katanya.
Kumpulan itu berkata jika pesuruhjaya yang salah dilantik maka Suhakam mungkin menjadi kumpulan yang kurang lantang dan mungkin ‘pro-kerajaan’.
“Sekiranya pengerusi dan pesuruhjaya yang salah dipilih mungkin tiada lagi inkuiri awam mengenai perkara hak asasi manusia seperti kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu, Pastor Raymond Koh dan aktivis Perlis Amri Che Mat dan inkuiri awam lain,” katanya. – 27 Mei, 2022.
Komen