TIGA belas individu, yang menggambarkan diri mereka sebagai mangsa pengakuan paksa stesen televisyen China, menggesa pengedali satelit Eropah Eutelsat menimbang semula penyiaran saluran CGTN dan CCTV.
Dalam sepucuk surat yang didedahkan pemantau hak asasi manusia Safeguard Defenders, 13 individu berkenaan menyenaraikan pelanggaran hak oleh China, antaranya memaksa dan menghalang mereka mendapat perbicaraan yang adil.
“Kami meminta anda…menentukan sama ada penyiar televisyen dalam masyarakat demokrasi harus menyiarkan maklumat yang sengaja diputar belit dan diperolehi secara paksa.
“Kami hanya segelintir dari mangsa-mangsa yang mampu bersuara. Ramai lagi mangsa dipenjarakan. Beberapa orang telah dihukum mati.
“Satu-satunya cara untuk menghentikan ini semua ialah stesen penyiar menyiasat dan mengambil tindakan,” kata mereka.
Surat tersebut ditandatangani individu pelbagai negara termasuk peguam hak asasi manusia dari China, Bao Longjun dan Jiang Tianyong.
Surat itu juga menyebut stesen penyiaran Australia SBS sudahpun berhenti menggunakan kandungan daripada televisyen milik negara China pada Mac, sementara menunggu penilaian semula mengenai hak asasi manusia.
UK juga telah menarik lesen penyiaran CGTN kerana melanggar undang-undang penyiaran. – AFP, 12 April, 2021.
Komen