Tampar ‘budaya import’ baharu, kata Guan Eng


Looi Sue-Chern

MENAMPAR orang kerana tidak puas hati kini menjadi norma baharu di Malaysia, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini, merujuk kepada kejadian pegawai penerangannya Zaidi Ahmad ditampar di luar sebuah masjid semalam.

Lim berkata walaupun ada pertelingkahan, tidak sepatutnya ada elemen keganasan.

“Anda tidak boleh pukul orang walau apa pun alasannya tetapi nampaknya kini sudah jadi perkara biasa. Bila orang tidak puas hati, mereka pukul orang pula.

“Itu bukan budaya Malaysia. Itu mesti budaya import,” katanya kepada wartawan ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu.

Zaidi yang juga bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia ditampar semasa demonstrasi di luar masjid awal semalam berkata dia hanya bertanya kepada Pengerusi Jalinan Muslimin Pulau Pinang Mohamed Hafiz Mohamed Nordin menjelaskan dakwaannya terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang.

Hafiz ketika bercakap pada satu himpunan bantahan selepas solat Jumaat di luar masjid Simpang Enam berhampiran Komtar, mendakwa kerajaan negeri campur tangan dalam fatwa.

Zaidi yang mendengar ucapan itu meminta Hafiz menjelaskan fatwa mana yang dikatakan dihalang oleh kerajaan negeri. Seorang peserta protes itu kemudian menamparnya.

Katanya, dia tidak akan membuat laporan polis kerana penyerangnya warga emas sudah melebihi usia 60 tahun.

Zaidi menjadi tumpuan umum selepas membuat laporan polis berhubung dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum.

Dia dibicarakan di mahkamah tentera kerana bercakap kepada media mengenai dakwat itu dan dibuang kerja.

Lim berkata beliau bercakap dengan Zaidi mengenai insiden itu dan memberitahu mahu menyelesaikannya sendiri.

“Dia kata dia ada di sana kerana pergi solat di masjid itu. Dia beritahu insiden itu tidak ada kaitan dengan tugasnya sebagai pegawai kerajaan negeri.

“Saya hormati keputusannya. Jadi saya serahkan kepadanya,” kata Lim. – 27 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen