CRADLE Fund Sdn Bhd melantik Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Norman Matthieu Vanhaecke sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) berkuat kuasa 1 Jun, 2022 bagi menggantikan GCEO Rafiza Ghazali sehingga pengganti tetap disahkan.
Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata, Rafiza akan meletakkan jawatan mulai 31 Mei, 2022 untuk meneruskan peluang lain.
Pengerusinya Yvonne Chia berkata sepanjang tempoh perkhidmatannya, Rafiza telah menjalankan tugas dengan efektif bersama-sama semua pihak berkepentingan dan menunjukkan kemampuannya meletakkan Cradle untuk melaksanakan peranan kepimpinan dalam Ekosistem Syarikat Pemula Niaga Malaysia, portal sumber maklumat digital yang menjadi sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) yang ditubuhkan pada 2021.
“Rafiza turut menjadi model contoh penyertaan wanita bagi jawatan kanan dalam arena digital dan syarikat pemula niaga,” kata Chia.
Bagi pihak lembaga pengarah, Chia berterima kasih kepada Rafiza berikutan sumbangannya kepada Cradle dan komuniti syarikat pemula niaga.
Melalui sokongan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), lembaga pengarah sedang menjalankan proses semakan dan penilaian untuk mengenal pasti pengganti yang akan diumumkan selepas memperoleh semua kelulusan yang diperlukan.
Sementara itu, lembaga pengarah sedang bekerjasama rapat dengan Vanhaecke dan pengurusan kanan untuk memberi sokongan sewajarnya bagi melancarkan peralihan kepimpinan. – Bernama, 23 Mei, 2022.
Komen