Saya nampak tertuduh keluarkan barang dari bilik Nazrin, kata saksi


Alfian Z.M. Tahir

Tan Hoss Bah Agem, saksi kes bunuh CEO Cradle Fund Nazrin Hassan dilihat menunggu di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 November, 2019.

SEORANG anggota bomba hari ini dituduh melindungi rakan sekerjanya selepas barangan berharga milik mangsa bunuh, CEO Cradle Fund Nazrin Hassan, hilang dari bilik tidurnya pada 14 Jun tahun lalu.

Tan Hoss Bah Agem, saksi pendakwa ke-13 dalam perbicaraan kes bunuh itu, menafikan tuduhan peguam Muhammad Shafee Abdullah bahawa jam tangan jenama Tissot milik Nazrin, dan sejumlah wang tunai diambil oleh anggota bomba atau polis dari tempat kejadian.

Tan Hoss, yang pada ketika itu pemangku penyelia di balai bomba Damansara, memberitahu mahkamah hari ini bahawa barangan berharga itu diambil oleh salah seorang tertuduh.

Nazrin, 45, meninggal dunia dalam satu kebakaran di biliknya di rumahnya di Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada 14 Jun tahun lalu, sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Isterinya, Samirah Muzaffar dan dua remaja dituduh membunuh mangsa.

di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, Tan Hoss, 28, ditanya tentang laporan polis yang dibuat oleh Samirah, mendakwa jam tangan Tissot milik suaminya dan wang tunai hilang selepas kebakaran dipadam.

“Protokol dilanggar. Tempat kejadian tidak dikawal oleh pihak berkuasa dan maka bahan bukti tercemar,” kata Shafee kepada saksi.

“Anda cuba pinda kenyataan anda kerana hendak melindungi rakan sepasukan dan polis. Keadaan bertambah buruk, jadi anda mahu tutup,” kata Shafee.

Tan Hoss tidak bersetuju dan berkata salah seorang tertuduh naik ke bilik itu dan mengalihkan barangan berkenaan.

“Jadi anda mengatakan tertuduh ini naik atas ke tempat kejadian tanpa mendapatkan kebenaran dan mengambil telefon bimbit dan wang tunai, lalu di kawasan mayat itu berada?, soal Shafee.

“Anda cuba hendak menipu kan? Untuk tutup sesuatu?”

Tan Hoss mempertahankan kenyataannya, bahawa beliau nampak salah seorang tertuduh mengambil barangan itu tetapi tidak pasti sama ada ia jam tangan atau wang.

Bagaimanapun, saksi mengakui prosedur standard operasi dilanggar apabila tertuduh dapat masuk ke bilik berkenaan ketika siasatan masih dijalankan. – 29 November, 2019.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen