Ribuan penduduk Beijing negatif Covid-19 dihantar ke pusat kuarantin 


Varian Omicron menjangkiti lebih 1,300 penduduk di Shanghai sejak akhir April menyebabkan restoran, sekolah dan tarikah pelancong ditutup serta-merta. – Gambar EPA, 21 Mei, 2022.

Beribu-ribu penduduk Beijing yang negatif Covid-19 dipindahkan secara paksa ke hotel kuarantin semalam susulan beberapa jangkitan dikesan ketika ibu kota itu mula mengambil langkah kawalan yang lebih ekstrem menyerupai Shanghai yang dilanda virus.

Beijing memerangi wabak terburuk sejak wabak itu bermula.

Varian Omicron menjangkiti lebih 1,300 sejak akhir April menyebabkan restoran, sekolah dan tarikah pelancong ditutup serta-merta.

Strategi China untuk mencapai sifar kes Covid-19 termasuk penutupan sempadan yang ketat, kuarantin yang panjang, ujian besar-besaran dan penutupan cepat serta bersasar.

Lebih 13,000 penduduk di pekarangan kediaman Nanxinyuan yang diletakkan di bawah perintah berkurung di tenggara Beijing dipindahkan ke hotel kuarantin semalamam susulan 26 jangkitan baharu dikesan dalam beberapa hari kebelakangan ini, menurut notis kerajaan yang dikongsi secara meluas di media sosial.

“Pakar menentukan bahawa semua penduduk Nanxinyuan menjalani kuarantin berpusat mulai tengah malam 21 Mei selama tujuh hari,” kata pihak berkuasa dari daerah Chaoyang semalam.

Gambar media sosial menunjukkan ratusan penduduk dengan bagasi beratur dalam gelap menaiki koc yang diletakkan di luar perkarangan.

“Sesetengah daripada kami dikurang selama 28 hari sejak 23 April dan kami semua diuji negatif,” tulis seorang penduduk di Weibo.

“Ramai jiran saya sudah tua dan ada yang masih mempunyai anak kecil.

“Pemindahan itu benar-benar membuatkan kami berasa seperti berada dalam suasana perang,” tulis penduduk dan penulis blog hartanah Liu Guangyu menerusi Weibo hari ini.

Penduduk diberitahu untuk mengemas pakaian dan barangan keperluan mereka serta rumah mereka selepas itu disembur alat penghapus kuman, katanya.

Bulan lalu beribu-ribu penduduk Shanghai yang negatif Covid-19 dihantar ke pusat kuarantin. – AFP, 21 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen