Angka kematian Covid-19 di Shanghai meningkat


Sukarelawan mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk tidak dibenarkan keluar rumah selepas Shanghai melaksanakan sekatan pergerakan. – Gambar EPA, 24 April, 2022.

SHANGHAI melaporkan 39 kematian akibat Covid-19 pada Ahad, jumlah harian tertinggi sejak sekatan pergerakan bermula berminggu lalu, manakala ibu negara China, Beijing memberi amaran mengenai situasi “suram” dengan peningkatan jangkitan.

Ekonomi kedua terbesar di dunia itu bergelut dalam menghapuskan wabak Covid-19 yang terburuk dalam dua tahun dengan sekatan pergerakan ketat dan ujian besar-besaran kerana ia berpegang pada dasar sifar Covid-19 yang menjejaskan perniagaan dan semangat awam.

Hab perniagaan kosmopolitan Shanghai hampir ditutup sejak awal bulan ini, rantaian bekalan yang meruncing, dengan ramai penduduk terkurung di rumah lebih lama kerana ia menjadi pusat pandemik.

Bandar terbesar di China itu hanya mengumumkan kematian pertamanya pada 18 April, walaupun melaporkan ribuan kes setiap hari dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Ia melaporkan 39 lagi kematian pada Ahad, menurut data Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan yang menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 87 orang, manakala negara mencatatkan hampir 22,000 kes virus tempatan baharu.

Kematian harian tertinggi Shanghai sebelum ini sejak sekatan pegerakan adalah 12 orang, dilaporkan sehari sebelumnya.

Bandar berpenduduk 25 juta itu bergelut untuk menyediakan makanan segar kepada mereka yang terkurung di rumah, manakala pesakit melaporkan masalah mendapatkan rawatan perubatan biasa kerana ribuan kakitangan kesihatan dikerahkan menjalankan ujian dan rawatan Covid-19.

Sementara itu, 22 jangkitan baharu dilaporkan di ibu negara Beijing, selepas amaran daripada seorang pegawai pada Sabtu yang ia mesti mengambil tindakan segera.

Pegawai kesihatan Pang Xinghuo berkata pemantauan awal menunjukkan Covid-19 “menular secara ghaib” di ibu negara selama seminggu sekarang, menjejaskan “sekolah, kumpulan pelancongan dan banyak keluarga”.

“Risiko penularan berterusan dan tersembunyi adalah tinggi, dan keadaannya suram,” kata Tian Wei dari Jawatankuasa Parti Perbandaran Beijing semasa taklimat akhbar.

“Seluruh bandar Beijing mesti bertindak segera.” – 24 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen