SEBAGAI sebuah bangsa di sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum, agama dan budaya, kita ini barangkali sudah dihukum untuk buat salah berulang-ulang kali. Lepas satu, satu – buat silap, minta maaf tapi kemudian buat lagi.
Setiap kesilapan jarang pernah jadi pengajaran, kerana kata maaf agaknya sudah tidak lagi membawa apa-apa makna.
Itulah yang ternampak sepanjang minggu ini; lepas satu, satu timbul berita orang buat silap memberi ucap selamat Tahun Baru Cina.
Seorang pemimpin Umno di Perak awal minggu ini meminta maaf kerana iklan rentang ucapan tahun barunya malah tertulis ucapan selamat hari jadi. Dua tahun lalu pun ceritanya sama – seorang pemimpin Umno di Negeri Sembilan, yang juga bekas menteri kabinet, tersilap menaikkan iklan rentang ucap selamat Tahun Baru Cina ditulis terbalik dalam ejaan Mandarin.
Mereka berdua meminta maaf. Kedua-duanya mengaku tidak sengaja dan kurang arif akan Mandarin. Yang salah, tukang buat iklan – kerja main-main, tak teliti.
Semalam juga, syarikat minyak dan gas negara, Petronas meminta maaf kerana mengedarkan sampul angpow berwarna putih, bukannya merah.
Merah warna sambutan tahun baru bagi orang Tionghua. Merah itu tahun baru; tahun baru itu merah – kerana merah itu tuah melimpah dan jalan masa depan yang cerah, setidak-tidak begitulah yang diharapkan sehingga datang tahun yang satu lagi.
Putih sebaliknya warna berkabung, kematian, dan nasib buruk. Pada setiap kematian dan pemakaman orang Tionghua, putih adalah warna yang cukup dominan. Tidak pernah ada merah pada kematian, sama seperti tidak ada putih pada hari gembira menyambut tahun baru.
Kes sampul angpow putih ini juga bukanlah yang pertama. Perkasa pun buat silap yang sama enam tahun dulu.
Dalam kebanyakan kes ini, tidak ada satu pun berniat untuk melanggar adat dan budaya orang Cina. Apa yang dilakukan sebenarnya hanyalah untuk ikut sama mahu merayakan hari perayaan sesama rakyat Malaysia. Niatnya baik, tetapi tersalah cara.
Pelanggaran budaya yang menyentuh sensitiviti ini sebenarnya berlaku hampir setiap kali perayaan kaum dan agama apa sekali pun, dan tidak terhad ketika Tahun Baru Cina.
Bahawa ini terjadi dalam sebuah bangsa di sebuah negara yang berbilang kaum, budaya dan agama adalah sesuatu yang cukup luar biasa. Aneh, sekaligus satu tragedi kerana ia berlaku berulang kali.
Bahawa pihak berkuasa agama terpaksa mengeluarkan kenyataan tidak ada salahnya lambang anjing dalam kalendar Cina sesungguhnya adalah satu pelempang realiti tentang masyarakat kita yang selepas lebih 60 tahun hidup bersama sebenarnya masih tidak tahu makna kebersamaan dan hormat menghormati.
“Semangat kebersamaan dalam perkara ini perlu difahami secara bijaksana dan berhikmah oleh semua pihak demi mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” kata Ketua Pengarah Jakim, Othman Mustapha awal bulan ini.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga meminta maaf semalam kerana tersalah memasang gambar ayam jantan untuk ucap selamat bagi tahun Anjing. Ini pun salah tukang buat iklan – “kesilapan teknikal pengiklanan.”
Apa yang “sangat teknikal” entah, sehingga gambar ayam jadi hiasan iklan ucapan tahun Anjing?
Yang pastinya, tahun baru Cina kali ini memang agak kontroversi – dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya.
Tahun ini, ada pusat beli belah yang langsung tidak menampilkan imej anjing pada hiasan Tahun Baru Cina kononnya untuk menjaga sensitiviti orang Islam. Sebuah pasar raya menjual baju-T zodiak Cina tetapi tanpa anjing dan babi.
Kenapa tidak mengaku sahaja bahawa inilah alasannya? Anjing.
Kita yang melihat iklan itu pun tahu membacanya: sekilas ayam jantan di iklan, kita tahu kenapa hilang anjingnya.
Setahun dari sekarang, akan datang tahun babi pula. Apakah akan lebih membabi buta sesetengah kita menghadapi tahun baru itu nanti?
Mungkin juga, kerana sebagai sebuah bangsa memang kita ini seperti dihukum untuk melakukan kesilapan berulang-ulang kali dan langsung tidak belajar apa-apa.
Inilah tragedinya. – 16 Februari, 2018.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan