GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menuntut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membatalkan pelantikan Tajuddin Abdul Rahman sebagai duta ke Indonesia demi kepentingan negara.
Kumpulan itu berkata pelantikan ahli Parlimen Pasir Salak itu sebagai diplomat adalah penghinaan kepada Parlimen dan pengundinya.
“Tajuddin, yang bergurau mengenai kemalangan LRT di bawah pengawasannya sebagai pengerusi Prasarana dipilih sebagai duta juga merupakan penghinaan kepada perkhidmatan diplomatik kita,” kata Bersih dalam satu kenyataan.
Tajuddin mengesahkan semalam beliau dilantik sebagai duta ke Indonesia dan ia mendapat persetujuan oleh Presiden Joko Widodo.
Tajuddin akan menggantikan Zainal Abidin Bakar, seorang diplomat yang menjadi duta sejak 2018.
Ahli Parlimen berusia 74 tahun itu tidak asing lagi dengan kontroversi. Beliau sebelum ini dipecat sebagai pengerusi Prasarana selepas membuat kenyataan tidak sensitif berkaitan kemalangan LRT Kuala Lumpur yang mencederakan ratusan penumpang.
Beliau juga didenda kerana melanggar Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 apabila beliau kelihatan memakai pelindung muka tanpa topeng semasa sidang media berikutan nahas itu.
Kira-kira sebulan kemudian beliau didenda sekali lagi kerana melanggar SOP Covid-19 dengan tidak memakai topeng pelitup muka di Parlimen.
Pada Mei tahun lalu beliau turut ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu dakwaan salah guna kuasa kerana memberi pekerjaan kepada rakannya di Prasarana.
Kemudian pada Julai beliau dipecat sebagai pengarah Pilihan Raya Umno selepas fail audio beliau mengkritik Presiden Parti Ahmad Zahid Hamidi dibocorkan di media sosial. – 18 Mei, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen