KEGAGALAN Putrajaya membentangkan rang undang-undang (RUU) antilompat parti di Dewan Rakyat pada sidang kali ini melanggar intipati utama persefahaman (MoU) transformasi dan kestabilan politik yang dimeterainya dengan pembangkang, kata beberapa badan masyarakat.
Pengenalan undang-undang itu adalah antara 18 perkara yang perlu dilaksanakan mengikut MoU yang ditandatangani antara pentadbiran Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September, 2021.
Putrajaya minggu lalu mengumumkan penangguhan pembentangan rang undang-undang itu atas alasan untuk libat urus lanjut, namun tidak menetapkan tarikh bila ia akan dibawa ke Dewan Rakyat.
Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata undang-undang antilompat parti mesti berkuatkuasa sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.
Ini bagi memastikan keyakinan rakyat kepada sistem politik dan pilihan raya negara, yang terhakis sejak pilihan raya umum yang lepas, dapat dipulihkan, katanya.
“Undang-undang ini adalah sebahagian daripada MoU dan ia perlu diluluskan pada sidang parlimen sekarang.
“Semua ahli Parlimen dan parti politik perlu memastikan undang-undang ini berkuatkuasa sebelum PRU15 untuk menangani pengkhianatan wakil rakyat seperti yang kita lihat dalam empat tahun lepas sejak PRU14,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Thomas menambah Bersih sangat bimbang dengan sikap berlengah kerajaan membawa rang undang-undang ini ke Parlimen.
Bersih hari ini menyerahkan memorandum “Antilompat Parti Sekarang” ke Parlimen mendesak kerajaan menyegerakan pembentangan rang undang-undang berkenaan.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pindaan Perlembagaan untuk menyekat lompat parti mungkin akan dibentang pada sidang khas Dewan Rakyat memandangkan sidang sekarang berakhir Khamis ini.
Ia sepatutnya dibentang bersekali dengan pindaan untuk menghadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal.
“Kabinet memutuskan RUU ini masih memerlukan penelitian lanjut melalui sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan lain khususnya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Ini bagi memastikan pindaan ini mendapat sokongan mereka (BN dan PN) di Dewan Rakyat,” katanya, mengingatkan pindaan seumpama ini memerlukan sokongan dua pertiga ahli parlimen.
Pada 1 Mac, ketua pembangkang Anwar Ibrahim berkata Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentang pada sidang parlimen kali ini.
Ismail Sabri memberi jaminan itu pada pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan di Bangunan Parlimen.
Undi bukan untuk lompat
Menurut Thomas, pengundi tidak memilih wakil rakyat untuk mereka kemudiannya menjaja diri mendapatkan tawaran terbaik untuk jawatan, peruntukan atau imuniti daripada pendakwaan.
“Kembalikan mandat kepada rakyat, luluskan undang-undang antilompat parti segera.
“Ia perlu dibentang pada sidang sekarang seperti disebut dalam MoU atau ia boleh dianggap melanggar MoU dan PH boleh tamatkan MoU,” katanya.
MoU menetapkan secara khusus rang undang-undang antilompat parti dan pindaan berkaitan perlu dibentang dan diluluskan pada mesyuarat pertama Parlimen tahun ini, iaitu sidang yang bermula sejak 28 Februari.
Beliau juga mengingatkan masih ada pembaharuan lain yang perlu dilakukan termasuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen.
Sementara itu, pengarah eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Centre) Cynthia Gabriel berkata kelengahan kerajaan melaksanakan MoU dengan PH sangat membimbangkan.
“Kita gesa perdana menteri untuk tidak tunduk kepada tekanan politik dan mengotakan janji MoU.
“Perdana menteri mesti bertanggungjawab,” katanya.
MoU kerajaan dan PH berkuatkuasa sehingga pembubaran Parlimen, tetapi pada masa sama menetapkan Parlimen tidak boleh dibubar sebelum 31 Julai ini. – 22 Mac, 2022.
Komen