KEGIATAN Tengku Zafrul Abdul Aziz di sekitar Kuala Selangor sejak kira-kira sebulan lalu mencetuskan spekulasi bahawa beliau kini sedang mengintai kawasan untuk ditandingi dalam pilihan raya umum akan datang.
Antara aktiviti tersebut melibatkan penyampaian bantuan kepada kumpulan rakyat susah melalui Yayasan Tengku Zafrul Aziz (TZA).
Di kawasan kelahirannya di Kuala Pilah, Zafrul juga aktif menyampaikan sumbangan derma dan bantuan kepada golongan memerlukan sepanjang Ramadan dengan platform sama.
Zafrul kini dilihat mencuba nasib di kerusi tersebut selepas usaha mendekati rakyat yang dijalankan di Lembah Pantai dan Kuala Pilah didakwa ditolak pemimpin Umno tempatan.
Kehadiran menteri kewangan itu di Kuala Selangor melalui aktivitinya disedari para pemimpin parti di kawasan tersebut yang menganggap ia memeriahkan lagi demokrasi di situ.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, kehadiran Tengku Zafrul dialu-alukan dan mampu meningkatkan pengaruh Umno di situ.
Pemimpin Umno bahagian tersebut malah menyambut baik sekiranya Zafrul dipilih menjadi calon Parlimen parti dengan menilai keupayaannya merampas kerusi tersebut dari Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pemuda Umno bahagian Norazley Yahya percaya Zafrul yang masih muda mampu menambat hati pengundi muda, yang merupakan antara kelompok terbesar pemilih Kuala Selangor.
“Zafrul nama besar dalam kerajaan hari ini. Perwatakannya muda (dan) bilangan orang muda di Kuala Selangor besar, bukan sikit.
“Dengan karakter dan imej beliau sebagai orang muda saya bukan sahaja tidak melihat sebarang masalah kalau beliau bertanding sebagai ahli Parlimen, malah mampu jadi pemangkin sokongan pengundi muda dan profesional,” kata Norazley.
Pengundi muda berusia 21 tahun hingga 40 tahun berjumlah lebih 31,500 orang atau kira-kira 43% dari keseluruhan lebih 73,372 pengundi di Kuala Selangor.
Norazley berkata, sebagai menteri kewangan dengan latar belakang korporat, Zafrul layak mewakili Umno dalam usaha merampas kerusi Parlimen Kuala Selangor.
Bagi tugas itu, Zafrul perlu berdepan penyandangnya Dr Dzulkefly Ahmad yang menang pertama kali kawasan itu pada 2008 atas tiket PAS.
Dr Dzulkefly kemudian tewas pada 2013 kepada calon Barisan Nasional (BN) Irmohizam Ibrahim namun merampasnya semula pada 2018 atas tiket Amanah yang mewakili PH.
Beliau kemudian dilantik sebagai menteri kesihatan kerajaan PH, yang disifatkan Norazley sebagai nama besar yang setanding untuk dilawan Zafrul.
“Zafrul nama besar, nak lawan (Dr Dzulkefly) kena orang nama besar sebab kita nak menang.
“Betul walaupun (dari segi) politik (kurang berpengalaman), tetapi beliau ada setiausaha politik yang boleh jadi panduan dan pemandu dari segi politik dan kita nampak Zafrul ada minat politik yang tinggi,” kata Norazley.

Walaupun bekas ketua pengarah eksekutif gergasi perbankan CIMB itu tidak mempunyai asas dan pengalaman politik, ia bukanlah bidang yang asing dalam keluarganya.
Norazley berpandangan demikian kerana adik Zafrul, Tengku Zuhri merupakan timbalan ketua bahagian Umno Lembah Pantai.
“Umno mahukan orang profesional di Kuala Selangor. Inilah calon berpendidikan yang profesional, walaupun beliau bukan orang tempatan.
“Zafrul tahu bagaimana uruskan kewangan negara dan CIMB, saya yakin mereka yang berpendidikan di Kuala Selangor ini tiada masalah (menyokong Zafrul),” katanya.
Zafrul pertama kali dibawa menyertai Kabinet pada Mac 2020 sebagai menteri kewangan dalam pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Jawatannya kemudian dikekalkan dalam pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil alih Putrajaya pada Ogos 2021.
Norazley melihat Zafrul pada masa ini mampu menggalas tugas sebagai calon Umno bagi kawasan Kuala Selangor sekiranya parti merestuinya.
“Kita kena ikut kemampuan biarlah ukur baju di badan sendiri. Ketika ini beliau layak dengan kemampuan yang ada sekarang.
“Esok kalau ada peluang mungkin saya boleh pergi DUN. Nak (menang) PRU15 bukan mudah biar kita letak nama besar untuk bantu BN,” katanya.
Tambah Norazley, Umno perlu mengambil iktibar dari pilihan raya 2018 yang menyaksikan parti itu tewas di semua kerusi dalam Kuala Selangor.
“Nak menang tak boleh menang semua, nak kalah jangan kalah semua. Adakah kita mahu jadi mcm PRU14. Nakkan semua, akhirnya Kuala Selangor kita kalah semua,” katanya.
Beliau menjangka pemimpin Umno Selangor tidak mempunyai masalah jika Zafrul bertanding di Kuala Selangor.
Katanya, Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Noh Omar sendiri memperkenalkan Zafrul dalam satu program di Masjid Sultan Ibrahim pada Ramadan lalu.
“Beliau tidak berselindung perkenalkan Zafrul. Maknanya Noh buka peluang dan tiada halangan untuk Zafrul berada di Kuala Selangor,” katanya.
Namun sentimen berbeza dikesan berlegar di kalangan aktivis parti seperti Rafi Awang Kechik yang melihat Zafrul kini aktif di Kuala Selangor kerana ditolak Umno Lembah Pantai dan Kuala Pilah.
Dalam satu kenyataan di Facebook, beliau mendakwa sebarang aktiviti bersama Zafrul kini dilarang oleh pemimpin bahagian Umno Kuala Selangor.
Sikap itu serupa dengan penentangan ditunjukkan pemimpin Umno sewaktu Zafrul berura-ura untuk bergiat aktif di Lembah Pantai pada Januari 2021.
Pemimpin Umno Lembah Pantai pada waktu itu antara lain mengesyaki kehadiran Zafrul ditaja Bersatu yang mahu merampas kerusi tersebut.

Lebih ramai lagi meriah
Adun Jeram Mohd Shaid Rosli pula melihat penyertaan Zafrul akan memeriahkan pertandingan merebut kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 nanti.
Wakil rakyat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, beliau menjangkakan Zafrul mampu memberi saingan kepada lawan kerana beliau muka baharu yang masih segar.
“Bagi kita tak kisah, dari parti mana pun nak tanding sebab kita (rai) demokrasi. Yang penting ahli Parlimen selepas menang berkhidmat, itu sahaja jangan macam yang lepas, menang hilang lepas jadi menteri.
“Kita alu-alukan semua parti untuk ambil bahagian bertanding dalam PRU15 untuk Parlimen, lagi ramai lagi meriah supaya ada banyak pilihan.
“Rakyat nak beri ruang muka baharu, kalau ada dua, tiga pilihan, ada pilihan rakyat buat penilaian berdasarkan prestasi,” katanya, yang ditemui di Pusat Khidmat Adun di Puncak Alam baru-baru ini.
Shaid juga dikatakan antara calon yang sedang mengintai peluang untuk mencuba nasib sebagai ahli Parlimen Kuala Selangor.
“Saya secara peribadi suka kalau ada lebih daripada tiga penjuru, rakyat ada pilihan cari yang terbaik.
“Tidaklah kita ketandusan kepimpinan dari parti politik, kalaulah ada calon bagus mungkin orang akan bagi pilihan,” kata Shaid lagi.
Beliau juga melihat penduduk dan pengundi Kuala Selangor tidak mempunyai masalah menerima calon luar dari kawasan tersebut memandangkan kebanyakan pemilih juga bukan penduduk jati.
Kawasan itu pula sedang melalui proses urbanisasi pesat dengan pembukaan kawasan baharu seperti Bandar Puncak Alam yang kini dianggarkan mempunyai kira-kira 14,000 pengundi.
“Kebanyakan penduduk Kuala Selangor bukan asal di situ. Sebahagiannya datang dari luar, tetapi sudah menetap di situ, apabila begitu mereka beranggapan berhak pilih pemimpin di situ walaupun urinya bukan ditanam di situ.
“Sebahagiannya di Kuala Selangor bukan lagi orang kampung. Kebanyakannya profesional tambah lagi anak orang kampung dulu pun dah terpelajar dan boleh nilai pemimpin.
“Orang dulu kami bagi beras, sardin, dapat undi tetapi sekarang tidak… Rakyat pandai kami bagi mereka ambil tapi undi belum tentu,” katanya.
Shaid seterusnya melihat, walaupun latar belakang Zafrul bagus, menteri itu kekurangan pengaruh politik di peringkat akar umbi yang disifatkannya kelemahan terbesar.
Beliau turut melihat kekuatan Zafrul dari pengalaman pentadbiran korporat dan latar belakang elit dan bersih dari skandal besar.
“Dia bagus, korporat, tapi kita tak tahu sebab dia bukan latar belakang politik. Sejauh mana boleh turun bawah jumpa orang.
“Beliau memang kerabat, bagus tak seleweng dari segi soal kewangan, integriti mungkin bagus sebab beliau kerabat
“Tapi sejauh mana boleh dekatkan diri dengan akar umbi turun ke bawah, itu akan menjadi tanda tanya,” katanya. – 17 Mei, 2022.
Komen