Akar umbi tetap mahu Umno tanding Lembah Pantai


Mohd Farhan Darwis

Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Ramlan Askolani berkata parti ada kekuatan jentera akar umbi berbanding Bersatu dan PAS dalam PN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 Januari, 2021.

AKAR umbi di Umno Bahagian Lembah Pantai menegaskan tiada mana-mana pihak dalam gabungan kerajaan wajar merebut kawasan itu daripada parti tersebut.

Mereka berpendapat, Umno mempunyai kelebihan di kawasan Parlimen Lembah Pantai walaupun parti itu tewas kepada PKR sejak tiga penggal lalu.

Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Ramlan Askolani berkata, parti itu mempunyai kelebihan kekuatan jentera akar umbi berbanding Bersatu dan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, Bersatu mempunyai tidak lebih daripada 10 cawangan berbanding Umno yang mempunyai bilangan cawangan yang berjumlah lima kali ganda.

Disebabkan itu juga, penggiat Bersatu Lembah Pantain kini berura-ura untuk menyertai Umno, kata Ramlan.

“Ada juga dengar mereka (Bersatu) nak masuk sini, (alasan) mereka kata kita dah tiga kali (pengggal) kalah.

“Tetapi sebenarnya kita kalah kerana isu nasional, sedangkan perkhidmatan kita mereka (pengundi) rindu,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Beliau yang ditemui selepas mesyuarat agung tahunan Umno Bahagian Lembah Pantai di Petaling Jaya juga mereka juga meraih undi paling banyak dalam PRU14 di kalangan parti yang tewas.

Maka Umno berhak bertanding di kawasan tersebut mengikut perjanjian dalam PN.

Majoriti pengundi di Lembah Pantai terdiri daripada pengundi Melayu, dan kerjasama tiga parti Melayu itu akan membolehkan kemenangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2021.

“Dari segi perjanjian peringkat nasional antara Umno, PAS, Bersatu, nombor dua undi terbanyak selepas kalah kepada PKR adalah Umno.

“Kita ambil kira begitu, harap perjanjian ini diterjemahkan secara telus dan menepati perjanjian, PAS undi cuma 5,000 Bersatu pula tiada rekod, akar umbi Umno pula betul-betul kuat,” katanya.

Katanya, Bersatu tidak pernah bertanding di kawasan tersebut manakala PAS hanya mempunyai sekitar 5,000 undi di Lembah Pantai.

Oleh sebab itu beliau yakin peluang Umno menang lebih cerah sekiranya diberi peluang bertanding.

“Pada saya yang penting kita menang di Lembah Pantai. Sudah tiga kali kita kalah, (tetapi) dua menteri kita (dari Lembah Pantai).

Memandangkan majoriti pengundi di Lembah Pantai terdiri dari pengundi Melayu, Ramlan berkata kerjasama tiga parti Melayu itu akan membolehkan kemenangan.

“Kalau Melayu tak pecah, Bersatu dengan PAS sokong, kebanyakan Melayu akan balik (undi Umno)... Mereka sudah merasai kesan semasa kita kalah,” tambahnya.
Kalangan anggota Umno di bahagian itu juga menolak untuk berkempen bagi calon Bersatu dalam PRU akan datang.

Seorang anggota cawangan Umno Kg Pasir Lama di Jalan Klang Lama, Ariffin Abu Nawas berkata tidak masuk akal untuk akar umbi Umno bekerja untuk calon Bersatu di Lembah Pantai.

Katanya, Umno tidak akan menerima calon Bersatu kerana parti itu tidak akan mampu menandingi jentera mereka di situ.

“Gerak kerja pilihan raya macam mana nak buat? Umno takkan terima kalau mereka nak letak calon di sini. Tak masuk akal. Akar umbi takkan bagi undi (kepada Bersatu) di sini.

“Kemungkinan besar ahli Umno tak terima kalau Bersatu nak bertanding di sini. Selama ini pun kita yang bertanding,” kata Ariffin, 60.

Seorang lagi akar umbi Pemuda Umno Lembah Pantai berkata, sentimen sama dapat dilihat di kalangan ramai ahli seangkatannya.

“Kebanyakan ahli tak setuju kawasan ini ditandingi Bersatu, sebab ini kawasan Umno.

“Di peringkat bahagian pun kita nampak mereka tidak bersetuju nak serah kawasan kepada Bersatu,” katanya, yang enggan identitinya didedahkan.

Anggota akar umbi itu berpandangan demikian sewaktu timbul cakap-cakap bahawa dua menteri Kabinet kini berura-ura untuk bertanding di Lembah Pantai.

Salah seorang menteri disebut-sebut akan bertanding itu merupakan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, yang juga bekas pengawai kanan CIMB Bank.

Beliau yang dipilih Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyertai Kabinet selepas pembentukan kerajaan PN tahun lalu bagaimanapun menafikan khabar angin itu.

Zafrul pada November lalu bagaimanapun berkata beliau tidak berminat menyertai politik dan hanya akan menumpukan tugas sebagai menteri .

The Malaysian Insight difahamkan Lembah Pantai adalah antara dua atau tiga kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mahu ditandingi oleh Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang, selepas Umno dan BN kalah kerusi itu sejak 2008.

Selain Lembah Pantai, terdapat tiga lagi kerusi tradisi Umno di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu Titiwangsa, Wangsa Maju dan Setiawangsa.

Data PRU14 menunjukkan pengundi Melayu membentuk 63% daripada keseluruhan pengundi di Lembah Pantai diikuti Cina 19%, India 16% dan 2% kaum lain.

Kerusi Parlimen Lembah Pantai jatuh ke tangan PKR sejak tiga penggal lalu.

Dalam pilihan raya umum 2008 itu, kerusi yang disandang menteri Umno waktu itu Shahrizat Jalil, dimenangi pemimpin muda PKR Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah yang juga anak kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim mengekalkan kerusi tersebut dalam PRU seterusnya, menewaskan calon Umno Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Dalam PRU14, Raja Nong Chik tewas sekali lagi kepada PKR walaupun parti itu meletakkan muka baharu, Fahmi Fadzil bertanding kerusi tersebut. – 5 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen