China tarik diri anjur Piala Asia 2023


Konfederasi Bola Sepak Asia mengakui keadaan luar biasa disebabkan pandemik Covid-19, yang membawa kepada pelepasan hak penganjuran Piala Asia. – Gambar Laman Web AFC, 14 Mei, 2022.

CHINA menarik diri sebagai tuan rumah Piala Asia 2023 susulan penularan Covid-19, demikian menurut pegawai bola sepak negara itu hari ini.

Strategi ketat sifar-Covid Beijing memberi tamparan hebat kepada penganjuran temasya sukan di negara itu.

Pihak berkuasa China sedang melaksanakan strategi untuk membendung virus itu sepenuhnya, termasuk pelaksanaan sekatan pergerakan dan saringan besar-besaran.

Malah berjuta penduduk di Shanghai berdepan sekatan ketat selama lebih sebulan.

Namun, langkah itu – kini jarang berlaku di seluruh dunia, kerana kebanyakan negara beralih kepada fasa endemik – menjadikan penganjuran acara sukan sebagai satu cabaran besar.

Sukan Asia bersaiz Olimpik, yang akan diadakan pada September di Hangzhou, ditangguhkan awal bulan ini, dan pada hari Sabtu Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkata China tidak akan menjadi tuan rumah Piala Asia.

Pegawai bola sepak China memaklumkan kepada AFC bahawa mereka tidak akan dapat menganjurkan pertandingan itu yang akan diadakan di 10 bandar bermula Jun hingga Julai tahun depan.

Buat masa ini tiada negara tuan rumah baharu dinamakan.

“AFC mengakui keadaan luar biasa disebabkan pandemik Covid-19, yang membawa kepada pelepasan hak penganjuran (China),” kata badan induk bola sepak Asia itu dalam satu kenyataan.

Tambah AFP, mereka yang terlibat dalam penganjuran kejohanan membuat “keputusan yang sangat sukar tetapi perlu, demi kepentingan kolektif.

Piala Asia diadakan setiap empat tahun. Qatar memenangi edisi terakhir pada 2019.

Ini adalah kali kedua China mengadakan Piala Asia. Mereka menjadi tuan rumah pada 2004.

Ketika itu tuan rumah tewas 3-1 kepada Jepun pada perlawanan akhir. – AFP, 14 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen