Pasukan petugas khas dibentuk kaji budaya kerja khidmat penjagaan kesihatan


Ravin Palanisamy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata skop dan syarat pasukan petugas khas ini akan merangkumi aspek budaya kerja dan pengurusan sumber manusia kakitangan kesihatan bagi memastikan kualiti dan penyampaian perkhidmatan profesional.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan secara rasmi telah menubuhkan pasukan petugas khas bebas untuk mengkaji budaya kerja perkhidmatan penjagaan kesihatan dan membuiat penambahbaikan, kata menterinya Khairy Jamaluddin hari ini.

Beliau berkata, unit itu yang ditubuhkan secara rasmi hari ini, dinamakan Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF).

“Selain kejadian melibatkan kematian Pegawai Perubatan Siswazah di Hospital Pulau Pinang, terdapat juga laporan dan aduan diterima berkaitan buli dan masalah tekanan mental yang dihadapi bukan sahaja oleh doktor muda, malah kakitangan perkhidmatan kesihatan ketika menjalankan perkhidmatan mereka.

“Justeru, mengambil kira kepentingan perkhidmatan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan kepada negara dan pembangunan modal insan, skop dan syarat pasukan petugas khas ini akan merangkumi aspek budaya kerja dan pengurusan sumber manusia kakitangan kesihatan bagi memastikan kualiti dan penyampaian perkhidmatan profesional,” kata Khairy dalam satu kenyataan hari ini.

Penubuhan pasukan petugas itu susulan kematian seorang doktor muda berusia 25 tahun di Hospital Pulau Pinang bulan lepas, yang terjun dari bangunan pejabat di Jalan Datuk Keramat, Georgetown, Pulau Pinang.

Minggu lepas Khairy memaklumkan bahawa beliau akan membentuk pasukan petugas untuk meneliti perkara itu dan juga dakwaan kes buli dalam kalangan doktor pelatih dalam perkhidmatan kerajaan.

Khairy berkata, peranan pasukan petugas itu antara lain adalah untuk:

- membuat analisis dan penilaian budaya kerja, pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan, secara umum dan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) secara khusus;

- menganalisis maklumat dan hasil siasatan insiden kematian PPS di Hospital Pulau Pinang;

- memanggil dan mendapatkan penerangan tentang budaya kerja serta proses pengurusan sumber manusia bagi perkhidmatan kesihatan secara umum, dan PPS secara khusus;

- mencadangkan lantikan pihak perunding berkaitan kepada KKM bagi tujuan menyokong fungsi dan peranan HWCITF jika perlu;

- menjalankan kaji selidik dan analisis berkaitan; dan

- menyediakan laporan penilaian serta cadangan penambahbaikan budaya kerja dan pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan, secara umum dan PPS, secara khusus untuk dibentangkan kepada Menteri Kesihatan dalam tempoh dua bulan dari tarikh penubuhan.

Khairy berkata HWCITF akan dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Dr Siti Hamisah Tapsir.

Dr Siti, yang mempunyai kepakaran selama 33 tahun dalam perkhidmatan awam, kini merupakan naib canselor UCSI University.

Pasukan petugas itu juga akan terdiri daripada lapan individu profesional lain yang pakar dalam bidang masing-masing.

Mereka ialah bekas ketua pegawai sumber manusia Kumpulan CIMB Hamidah Naziadin; Pro-Naib Canselor, Akademik dan Profesor Pediatrik di Fakulti Perubatan dan Kesihatan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof Dr Zabidi AM Hussin; dan peguam, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla.

Pakar Perunding Psikiatri Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin; Ketua Pegawai Eksekutif IMU Healthcare, Dr Chong Su-Lin; pakar bidang komunikasi dan media, keselamatan pesakit, pembangunan jenama serta pengurusan krisis, Manvir Victor.

Pakar penilaian, membangun dan melatih ketua pegawai eksekutif (CEO), eksekutif dan pemimpin berpotensi tinggi, Sivaramakrishnan Balasubramanian dan wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Khairy berkata kementerian kesihatan amat komited dalam usaha menambah baik persekitaran kerja kakitangan perkhidmatan kesihatan amnya dan menghapuskan budaya kerja toksik di fasiliti kesihatan awam.

“Saya harus mengakui usaha ini mengambil sedikit masa untuk membuahkan hasil tetapi saya ingin menegaskan bahawa persekitaran kerja yang kondusif dan harmoni bermula dengan menghormati, menyokong dan sama-sama membantu rakan sekerja.

“Sekarang bukan masa untuk kita bertelagah, bukan masa untuk menuding jari.

“Kita telah mengharungi cabaran pandemik Covid-19 bersama-sama, berkat komitmen dan kerjasama erat semua petugas kesihatan, kita kini berada dalam peralihan ke fasa endemik,” katanya.

Dengan jumlah keseluruhan petugas melebihi 270,000 dalam sektor penjagaan kesihatan awam, Khairy berkata bersama-sama mereka akan dapat menyediakan sistem kesihatan terbaik. – 13 Mei, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen