Penubuhan pasukan petugas bebas satu langkah baik, kata doktor muda


Ravin Palanisamy Raevathi Supramaniam

Doktor pelatih berkata, ramai mangsa takut melaporkan kes buli kepada ketua jabatan kerana bimbang akan kesannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2022.

DOKTOR muda mahu Kementerian Kesihatan bertindak tegas terhadap mereka yang membuli, mengganggu dan menakut-nakutkan doktor pelatih dalam perkhidmatan kerajaan.

Mereka berkata, kerajaan mesti menambah baik suasana kerja dan menangani buli di tempat kerja dalam perkhidmatan awam.

Mereka juga mengalu-alukan langkah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk membentuk pasukan petugas bebas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih di Pulau Pinang serta dakwaan wujudnya buli.

Seorang doktor muda dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), yang bercakap dengan The Malaysian Insight tanpa mahu mendedahkan namanya, berkata budaya buli sesuatu yang biasa di hospital.

Beliau berkata, kebanyakan pembuli terlepas daripada tindakan dan pasukan petugas bebas yang dibentuk kementerian harus menghukum individu, jika laporan terhadap mereka didapati benar.

Beliau juga berkata, ramai mangsa takut melaporkan kes buli kepada ketua jabatan (HOD) kerana takut akan kesannya.

“Kami, doktor pelatih, hanya akan ditempatkan di jabatan untuk beberapa bulan sahaja tetapi pegawai perubatan, jururawat kanan dan pakar akan berada di sana bertahun-tahun.

“Jadi, apabila kami mengadu mengenai buli terhadap mereka, HOD mungkin tidak mengambil tindakan kerana kami akhirnya akan pergi tetapi mereka akan kekal.

“Perbuatan sebegini lebih menggalakkan pembuli untuk meneruskan perbuatan mereka. Jadi, pasukan petugas mesti adil kepada semua dan tidak perlu takut menghukum mereka yang terbukti pembuli,” kata doktor muda itu.

Beliau berkata, hukuman yang sewajarnya dapat mengelak kejadian seperti itu daripada berulang.

Terdahulu, beberapa doktor muda yang bercakap dengan The Malaysian Insight berkata, buli satu perkara biasa di hospital kerajaan.

Pada Jumaat, Khairy berkata, kementerian akan membentuk pasukan petugas bebas untuk menyiasat kes seorang doktor muda yang meninggal dunia.

Beliau juga berkata, unit itu juga akan menyiasat dakwaan buli dalam kalangan doktor pelatih dalam perkhidmatan kerajaan.

Seorang doktor pelatih berusia 25 tahun maut selepas terjatuh dari bangunan pejabat di Jalan Datuk Keramat di George Town, Pulau Pinang, pada 17 April lalu.

Allahyarham ditempatkan bertugas di Hospital Pulau Pinang pada 4 April lalu.

Buli satu perkara biasa di hospital kerajaan, menurut doktor muda.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2022.

Seorang lagi doktor muda dari Melaka turut mengulangi pendapat sama, berkata pasukan petugas mesti menghukum individu yang terbukti menjadi pembuli.

“Jika terbukti ada yang membuli rakan sekerja lain, mereka perlu dihukum.

“Hukum mereka dengan cara yang mana mereka disenaraihitamkan daripada mengikuti program sarjana untuk tempoh setahun, membayar pampasan kepada mangsa dan banyak lagi,” katanya.

Selepas berkata demikian, dia berkata tidak perlu menamakan dan berkongsi mengenai individu itu.

Kekalkan pasukan petugas bebas

Seorang lagi doktor pelatih dari Hospital Sungai Buloh, yang mahu dikenali sebagai Joe, berkata pasukan petugas itu perlu mencari cara untuk menghentikan buli sepenuhnya.

Joe berkata, kegagalan berbuat demikian menyebabkan doktor muda menerima pakai dan meneruskan “trend” apabila mereka dinaikkan pangkat dan “membalas dendam” terhadap junior mereka nanti.

“Ia satu proses ‘membalas dendam’ kerana mereka mahu junior melalui apa yang mereka alami.

“Jika kita boleh meletakkan noktah ini sepenuhnya, walaupun agak mustahil, maka kita boleh mempunyai persekitaran kerja yang lebih baik,” kata Joe.

Joe, yang mendakwa dia turut menjadi mangsa, berkata jururawat kanan juga membuli.

“Ada beberapa pegawai perubatan yang takut dengan jururawat kanan. Jadi, bagaimana dengan kami?

“Kadangkala, tekanan yang kita lalui bukan sahaja daripada rakan doktor kanan atau pakar tetapi juga daripada jururawat kanan. Mereka tidak menghormati kami sebagai doktor.

“Apa yang mereka lihat kami hanya pelajar yang berada di sini untuk membebankan mereka,” katanya. – 8 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen