MMA gesa siasat faktor tekanan dalam sistem penjagaan kesihatan


Ravin Palanisamy

Pasukan petugas bebas ditubuhkan susulan kematian seorang doktor pelatih di Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2022.

PASUKAN petugas bebas oleh Kementerian Kesihatan bukan sahaja perlu menyiasat kematian seorang doktor pelatih baru-baru ini dan memantau kes buli dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan tetapi juga semua faktor tekanan yang menyumbang dalam sistem penjagaan kesihatan, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

“Pasukan petugas ini harus melihat keseluruhan sistem latihan dan punca tekanan lain yang berkaitan dengan kerja yang bukan sahaja dilihat di kalangan doktor pelatih tetapi juga di peringkat lain,” kata presiden MMA Dr Koh Kar Chai dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementeriannya akan membentuk pasukan petugas bebas untuk menyiasat kematian seorang doktor pelatih di Pulau Pinang.

Beliau berkata, unit itu juga akan menyiasat dakwaan buli dalam kalangan doktor pelatih perkhidmatan kerajaan.

Dr Kor mengalu-alukan penubuhan pasukan petugas itu, menyatakan ia mampu menangani kes buli.

“Penubuhan pasukan petugas bebas satu langkah baik Kementerian Kesihatan.

“MMA bekerja dengan KKM sepanjang tahun untuk melihat keluhan dalam kalangan kakitangan penjagaan kesihatan dan terdapat kemajuan dalam hal ini.

“Kita tidak boleh menafikan beberapa kes buli tidak dapat diselesaikan dengan memuaskan dan oleh itu badan bebas akan berguna dalam kes sebegini,” katanya.

Seorang doktor pelatih berusia 25 tahun maut selepas terjatuh dari bangunan pejabat di Jalan Datuk Keramat di George Town, Pulau Pinang, pada 17 April lalu.

Mangsa mula bertugas di Hospital Pulau Pinang pada 4 April lalu.

Khairy berkata, beliau menerima laporan awal kematian daripada ketua Jabatan Kesihatan Pulau Pinang.

Polis juga sedang melengkapkan siasatan terhadap kes itu, tegasnya. – 7 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen