HARGA durian dijangka lebih mahal berikutan pengeluaran raja buah itu merosot sebanyak 60% tahun ini, kata pekebun.
Mereka mendakwa kos baja tinggi akibat perang di Ukraine manakala penutupan pelabuhan Shanghai menyaksikan eksport terjejas teruk.
Tambah mereka, durian yang biasanya dituai pada bulan Mei terkesan dengan musim hujan lebat hingga menyebabkan pokok tidak berbunga dan mengeluarkan buah.
Menurut mereka terdapat pengurangan 60% hingga 80% di kalangan varieti Musang King dan Black Thorn di Pulau Pinang, Johor dan Pahang.
Eksport durian sejuk beku ke China juga dijangka menurun sebanyak 60% tahun ini, kata mereka.
Pemilik Orcheeking Enterprise, Heng Mee Oo berkata, cuaca buruk menjejaskan pokok durian.
Kebun yang lazimnya mengeluarkan 10 tan setiap musim mungkin hanya mampu menuai dua tan tahun ini, kata Heng, sambil menambah ini akan menaikkan harga.
Heng berkata Black Thorn kini berharga RM100 sekilogram kerana jumlahnya merosot dengan ketara.
Katanya, ketika varieti itu banyak, ia pernah berharga antara RM75 dan RM80 sekilo.
“Kami bersedia dari segi mental untuk menghadapi cuaca buruk setiap tahun, tetapi tahun ini keadaan menjadi lebih buruk,” kata Heng kepada The Malaysian Insight.
“Bukan sahaja buahnya tidak ‘cantik’, terdapat juga masalah dengan rantaian bekalan. Kami melihat pengurangan 80% dalam pengeluaran.
Harga juga terpaksa dinaikkan berikutan kos operasi yang tinggi, kekurangan buruh, kos pengangkutan melambung tinggi, harga bahan api dan baja, kata Heng.
“Sebelum ini, baja berharga RM3,000 setan. Kini ia meningkat dua kali ganda kepada RM6,000 satu tan. Kos kami naik lima kali ganda,” katanya.
Dari segi eksport ke China, Heng berkata penutupan pelabuhan Shanghai bermakna kapal tidak boleh berlabuh untuk memunggah barang, menyebabkan berlaku kelewatan.

Beliau kini mempertimbangkan untuk memunggah di pelabuhan lain seperti Guangzhou, Dalian atau Beijing.
Black Thorn sangat dicari di China, menyebabkan Heng mengeksport 20% hingga 30% varieti itu ke negara tersebut. Blackthorn juga lebih mahal berbanding Musang King, katanya.
“Pelanggan di Tanah Besar China menerima varieti baharu dan mereka menantikan Black Thorn.”
Sekotak Musang King kini berharga RM800 hingga RM900, manakala Black Thorn berharga RM1,200.
Sejak 2016, eksport durian Malaysia berkembang kepada 107%, membabitkan nilai RM74.8 juta.
Pada 2016, Malaysia mengeksport durian bernilai RM69.9 juta, RM59 juta pada 2017, RM124.9 juta pada 2018, RM127 juta pada 2019 dan RM144.7 juta pada 2020.
Tahun lepas, walaupun dilanda pandemik dan penutupan sempadan, eksport durian mencecah RM18.3 bilion, meningkat 82.4% berbanding 2020.
Sebanyak 822,000 tan durian dieksport, meningkat 42.7% berbanding 2020.
Bagi tahun berakhir 2021, durian bernilai AS13.47 bilion dieksport, iaitu 30.9 % peningkatan tahun ke tahun. Jumlah eksport mencecah 7.027 juta tan, peningkatan sebanyak 11.5% tahun ke tahun. – 6 Mei, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen