Tubuh jawatankuasa khas siasat kematian doktor pelatih, kata Chow


Noel Achariam

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata penubuhan jawatankuasa khas penting untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2022.

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin perlu menubuhkan jawatankuasa inkuiri khas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang, kata Chow Kon Yeow.

Ketua menteri Pulau Pinang berkata penubuhan jawatankuasa itu penting untuk mengenal pasti punca kejadian.

“Penubuhan jawatankuasa inkuiri berkaitan adalah penting bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut dan mengelakkan kisah sedih serupa berulang lagi terutamanya melibatkan doktor-doktor pelatih di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini yang dikongsikan di laman Facebook miliknya.

Semalam, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang berkata kematian seorang doktor pelatih kini disiasat polis.

Pengarahnya Dr Ma’arof Sudin berkata polis mengarahkan bedah siasat dijalankan dan ia akan dilakukan di Jabatan Forensik di Hospital Besar Pulau Pinang.

Portal berita The Vibes melaporkan seorang doktor pelatih di hospital berkenaan maut selepas terjatuh dari bangunan pejabat di Jalan Datuk Keramat di George Town.

Kes itu disiasat sebagai kematian mengejut tetapi polis boleh mengklasifikasikan semula fail itu jika bukti baharu dikenal pasti.

Doktor pelatih itu ditempatkan ke hospital berkenaan sejak tiga minggu lalu.

Ahli parlimen DAP juga meminta pihak berkuasa menyiasat perkara itu dan memberikan penjelasan telus mengenai kejadian itu.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, pengurusan Hospital Pulau Pinang dan KKM mesti bertanggungjawab dan memberikan penjelasan telus mengenai kematian mengejut seorang doktor pelatih baru-baru ini.

Beliau berkata siasatan telus mesti dijalankan berhubung perkara berkenaan bagi memastikan sebarang amalan toksik terhadap mana-mana pengamal perubatan dapat dibendung.

“Ini tidak boleh diketepikan sebagai ‘amalan atau budaya biasa’ dan hanya melepaskan batuk di tangga.

“KKM mesti membuka siasatan segera dan telus berhubung ‘kematian’ tragis seorang doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P. Ramasamy berkata kematian mengejut seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang baru-baru ini boleh dielakkan jika pihak pentadbiran memandang serius kes buli terhadap doktor pelatih.

Beliau berkata, memalukan apabila hospital kerajaan tidak serius menangani kes buli terhadap doktor pelatih muda.

“Kematian mengejut seorang doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang telah mendedahkan keadaan latihan di hospital dan hospital kerajaan yang lain di negara ini.

“Polis mungkin labelkan kematian akibat bunuh diri sebagai ‘kematian mengejut’, tetapi perlu ada penyiasatan tentang punca kematian itu.

“Ia tidak boleh diketepikan sebagai kematian mengejut kerana ada dakwaan buli dan ganggu doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan. – 5 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen