Ahli Parlimen tuntut penjelasan telus kematian doktor pelatih


Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata siasatan telus mesti dijalankan berhubung perkara berkenaan bagi memastikan sebarang amalan toksik terhadap mana-mana pengamal perubatan dapat dibendung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2022.

PENGURUSAN hospital dan Kementerian Kesihatan Pulau Pinang perlu bertanggungjawab serta memberi penjelasan mengenai kematian mengejut seorang doktor pelatih baru-baru ini, kata Dr Kelvin Yii.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata siasatan telus mesti dijalankan berhubung perkara berkenaan bagi memastikan sebarang amalan toksik terhadap mana-mana pengamal perubatan dapat dibendung.

“Ini tidak boleh diketepikan sebagai ‘amalan atau budaya biasa’ dan hanya melepaskan batuk di tangga.

“KKM mesti membuka siasatan segera dan telus berhubung ‘kematian’ tragis seorang doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini katanya termasuk menyediakan sokongan yang diperlukan seperti penjagaan emosi dan psikologi kepada semua petugas kesihatan termasuk doktor pelatih bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.

Awal hari ini, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang berkata kematian doktor pelatih itu sedang disiasat polis.

Pengarahnya Dr Ma’arof Sudin berkata polis mengarahkan bedah siasat dijalankan dan ia akan dilakukan di Jabatan Forensik di Hospital Besar Pulau Pinang.

Yii berkata ia membimbangkan kerana ini merupakan kematian kedua melibatkan doktor muda dalam tempoh dua tahun.

“Selain itu, terdapat keadaan kerja yang sukar dan toksik untuk doktor muda ini sehingga 16 hingga 17 jam sehari yang menjejaskan bukan sahaja kesihatan fizikal tetapi juga kesihatan mental.

“Beberapa doktor enggan mendedahkan identiti, berkata gejala buli dalam sektor perubatan adalah masalah yang berleluasa.”

Beliau berkata Putrajaya dan KKM harus melaksanakan dasar keganasan sifar yang ketat di semua tempat kerja.

Yii berkata ia bagi membendung sebarang persekitaran toksik dan juga keganasan di kalangan pengamal perubatan.

“Ini sudah tentu termasuk keganasan psikologi, keganasan lisan dan keganasan fizikal semasa konflik interpersonal atau konflik sesama rakan sekerja.

“Keganasan mendatar mempunyai kesan psikologi dan fizikal yang negatif terhadap kesihatan pakar perubatan kita.” – 4 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen