Gaji minimum baharu tak bermakna jika kos sara hidup meningkat, kata Anwar


Ravin Palanisamy

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata gaji mininum baharu tidak bermakna jika kos sara hidup terus meningkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2022.

GAJI minimum baharu yang berkuat kuasa hari ini pada Hari Pekerja tidak bermakna jika kos sara hidup terus meningkat, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata selagi tiada langkah menyeluruh dan berkesan untuk menangani kenaikan kos sara hidup, gaji minimum baharu RM1,500 tidak akan membawa sebarang perubahan ketara kepada nasib rakyat.

“Selagi sistem sedia ada yang hanya memperkaya elit ketimbang nasib dan hak pekerja, maka keadilan tidak akan tertegak,” kata ahli Parlimen Port Dickson dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Pada Mac lalu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara bermula hari ini.

Perintah gaji minimum baharu itu diwartakan pada Rabu 27 April lalu.

Anwar berkata kelas pekerja mesti terus mendesak untuk perubahan yang nyata serta kesatuan mesti terus diperkuat bagi menjamin hak dan peranan golongan pekerja. 

Semalam Ahli Parlimen Klang Charles Santiago juga berkata gaji minimum baharu itu tidak perlu diraikan kerana ia masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan sara hidup harian pekerja. – 30 April, 2022.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen