GAJI minimum baharu Malaysia sebanyak RM1,500 yang akan dikuatkuasa esok masih tidak mencukupi untuk menampung kehidupan seharian pekerja, kata Charles Santiago.
Menjelang Hari Buruh yang akan disambut esok, ahli Parlimen Klang itu berkata walaupun kadar baharu itu diraikan, ia tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup seorang bujang, apatah lagi keluarga empat beranak.
“Bank Negara Malaysia dan Khazanah sudah menunjukkan yang kadar upah selesa untuk keluarga empat beranak adalah kira-kira RM6,000 sebulan tetapi kita masih jauh untuk mencapai jumlah itu untuk majoriti pekerja di negara ini,” tambah wakil rakyat DAP itu lagi.
Awal Mac lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kadar baharu gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Mei ini.
Disebabkan itu, Charles berpandangan yang kadar baharu itu bukanlah satu berita gembira.
“Realitinya, upah yang tidak bergerak sejak dua dekad lepas telah mengurangkan kualiti dan standard kehidupan pekerja,” katanya.
Tambah Charles lagi, pandemik Covid-19 juga meningkatkan risiko pekerjaan yang menyebabkan kehilangan sumber pendapatan dan pemotongan gaji.
Kadar inflasi ekonomi yang semakin meningkat terutamanya dalam aspek harga makanan juga menambah beban rakyat, katanya lagi.
Semua ini, menurut Charles, ditambah dengan ketiadaan sistem campur tangan kerajaan bagi mewujudkan sistem perlindungan sosial yang menyeluruh menyebabkan kehidupan pekerja terabai.
“Jadi mereka terpaksa mengeluarkan wang daripada skim persaraan mereka, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Ini seterusnya mengurangkan lagi simpanan yang sudahpun sedia sedikit untuk isi rumah berpendapatan rendah dan memburukkan lagi kemiskinan negara yang berlaku sejak sekian lama,” katanya.
Beliau mendesak kerajaan untuk menetapkan matlamat melaksanakan kadar gaji selari dengan kehidupan pekerja dan memikirkan semula perlindungan sosial yang lebih menyeluruh serta pendekatan inklusif bagi melindungi kumpulan rentan dalam jangka masa panjang.
“Program perlindungan sosial boleh menjadi instrumen berpengaruh yang bukan sahaja mengeluarkan keluarga dan kanak-kanak daripada kemiskinan tetapi juga mempromosi budaya pemakanan sihat ibu bapa dan kanak-kanak.” – 30 April, 2022.
Komen