Krisis ekonomi, Sri Lanka naikkan harga ubat


Krisis ekonomi berpanjangan Sri Lanka mencetuskan protes meluas di kalangan rakyat negara itu yang menggesa kerajaan meletakkan jawatan. – Gambar EPA, 30 April, 2022.

KEKURANGAN wang menyebabkan kerajaan Sri Lanka mengumumkan kenaikan harga ubat-ubatan yang biasa digunakan rakyat negara itu sebanyak 40% hari ini, ketika negara kepulauan tersebut mengalami krisis ekonomi terburuk dalam tempoh beberapa dekad.

Ketiadaan bekalan tenaga elektrik, kekurangan bahan api dan farmaseutikal yang berpanjangan mencetuskan protes meluas menggesa kerajaan meletakkan jawatan.

Hospital juga membatalkan pembedahan rutin selepas kehabisan ubat bius, dan arahan hari Sabtu terpakai terhadap 60 jenis ubat susulan kekurangan bekalan.

Menteri Kesihatan Channa Jayasumana berkata, antibiotik, ubat tahan sakit tanpa preskripsi dan ubat penyakit jantung serta diabetes semuanya akan tertakluk kepada kenaikan harga.

Ini adalah kenaikan kali kedua dalam tempoh enam minggu bagi harga bahan farmaseutikal. Pada pertengahan Mac terdapat kenaikan sebanyak 30%.

Pegawai industri tersebut berkata kenaikan terbaharu itu perlu untuk mengimbangi kesan harga bahan api yang meningkat dua kali ganda sejak Disember.

Angka rasmi yang dikeluarkan Jumaat menunjukkan kadar inflasi Sri Lanka hampir 30% pada April, rekod ketujuh tertinggi berturut-turut.

Sri Lanka kehabisan mata wang asing untuk mengimport barangan keperluan yang amat diperlukan.

Kerajaan negara itu bulan ini mengumumkan kemungkiran hutang asingnya berjumlah AS$51 bilion dan meminta rakyat di luar negara untuk menderma bagi membantu pulau tersebut keluar daripada kemelesetan ekonomi.

Sri Lanka sudah meminta bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa yang mungkin mengambil masa sehingga tiga bulan untuk tiba. – AFP, 30 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen