TIGA lagi pegawai tertinggi Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah meninggalkan pengawal selia kewangan, lapor The Edge hari ini.
Ketiga-tiga mereka dikatakan sebagai pengarah urusan SC Foo Lee Mei, peguam am Chee Fei Meng serta pengarah eksekutif strategi digital dan inovasi Chin Wei Min.
SC bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Memetik sumber, The Edge berkata Foo telah mengemukakan peletakan jawatannya baru-baru ini, manakala Chee memilih untuk tidak memperbaharui kontraknya.
Tindakan tiga pegawai tertinggi itu dibuat selepas pengerusi eksekutif SC Syed Zaid Syed Jaffar Albar umum letak jawatannya semalam.
Beliau segera digantikan oleh Awang Adek Hussin, bekas ahli Parlimen Umno dan bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia, menggantikan Syed Zaid, 67, yang telah berkhidmat sebagai pengerusi SC sejak lebih tiga tahun.
Peletakan jawatan Syed Zaid dilaporkan susulan keputusan kontroversi Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan jenayah terhadap syarikat perkhidmatan minyak dan gas bermasalah Serba Dinamik Holdings Bhd dan empat eksekutif kanan, yang didakwa telah memfailkan penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia. – 29 April, 2022.
Komen