PM, peguam negara perlu jelas lantikan orang Umno di SC, kata Guan Eng


Raevathi Supramaniam

Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi penjelasan berhubung peletakan jawatan Syed Zaid Syed Jaffar Albar sebagai pengerusi eksekutif Suruhanjaya Sekuriti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob dan peguam negara perlu menjelaskan mengenai peletakan jawatan Syed Zaid Syed Jaffar Albar sebagai pengerusi eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan penggantian segeranya dengan orang Umno, kata Lim Guan Eng hari ini.

“Kedua-dua perdana menteri dan peguam negara mesti memberi penjelasan penuh mengenai peletakan jawatan Syed Zaid secara mengejut dan penggantian serta-merta beliau dengan orang Umno.

“Kerajaan mesti bertindak pantas untuk menjamin keyakinan pelabur bahawa pasaran modal Malaysia dijalankan bukan untuk kepentingan tetapi secara profesional, bebas, cekap dengan mematuhi penuh ketelusan dan menghormati kedaulatan undang-undang bebas daripada sebarang campur tangan politik,” kata pengerusi DAP dalam satu kenyataan.

Lim menyatakan peletakan jawatan Syed Zaid dilaporkan dikaitkan dengan pertembungan dengan keputusan kontroversi peguam negara untuk menarik balik pertuduhan jenayah terhadap syarikat perkhidmatan minyak dan gas bermasalah Serba Dinamik Holdings Bhd dan empat eksekutif kanan, yang didakwa memfailkan penyata kewangan palsu dengan Bursa Malaysia.

Terdahulu hari ini, Kementerian Kewangan mengumumkan Awang Adek Hussin, yang merupakan orang Umno, akan menggantikan Syed Zaid yang meletak jawatan hari ini.

Syed Zaid, 67, telah berkhidmat sebagai pengerusi SC selama hampir tiga tahun enam bulan.

Beliau dilantik pada 1 November 2018, dan dilantik semula pada 1 November 2021 oleh Kementerian Kewangan.

Awang Adek menjadi ahli politik pertama yang dilantik untuk mengetuai pengawal selia kewangan itu.

Ahli Umno itu sebelum ini memegang jawatan timbalan menteri kewangan dari 2006 hingga 2013 dan dipilih sebagai ahli Parlimen Bachok dari 2004 hingga 2008. – 28 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen