PUTRAJAYA perlu segera melantik pesuruhjaya baharu Suhakam untuk terus menangani isu hak asasi manusia di negara ini, kata Mah Weng Kwai.
Bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia itu berkata tempoh perkhidmatan kesemua sembilan pesuruhjaya itu berakhir semalam dan adalah penting bagi kerajaan memilih pesuruhjaya baharu dengan segera.
Beliau berkata kelewatan itu boleh mengganggu kerja Suhakam dalam memperjuangkan dan mengekalkan standard terbaik hak asasi manusia untuk negara.
“Kini tiada pesuruhjaya di Suhakam dan sehingga kini tiada pelantikan semula mahupun pelantikan pesuruhjaya baharu.
“Kerja di Suhakam telah terhenti kecuali kakitangan pengurusan dan pentadbiran,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Mah berkata terdapat sembilan pesuruhjaya termasuk pengerusi Suhakam dan pesuruhjaya hal ehwal kanak-kanak.
“Lima daripada pesuruhjaya sudah menamatkan dua penggal selama tiga tahun dan tidak layak untuk dilanjutkan.
“Empat pesuruhjaya yang lain sudah menamatkan penggal pertama mereka selama tiga tahun dan di bawah Akta Suhakam mereka layak untuk dilantik semula,” katanya.
Ketika dihubungi Suhakam mengesahkan tempoh perkhidmatan kesemua sembilan pesuruhjaya itu sudah berakhir semalam.
Pesuruhjaya yang menamatkan dua penggal mereka bersama Suhakam ialah Mah, Jerald Joseph, Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Lok Yim Pheng dan Godfrey Gregory Joitol.
Sementara pesuruhjaya yang menamatkan penggal pertama mereka ialah Othman Hashim, Dr Madeline Berma Mohd Hishammuddin Md Yunus dan Noor Aziah Mohd Awal (Pesuruhjaya Kanak-kanak).
Mah berkata beliau kecewa Putrajaya tidak melantik pesuruhjaya untuk mengambil alih lebih awal sebelum penggal tamat.
Katanya hanya satu mesyuarat jawatankuasa pemilihan diadakan Isnin lalu.
“Sebagai contoh apa yang berlaku tiga tahun lalu ialah apabila saya menamatkan penggal pertama pada April 2019 ia mengambil masa dua bulan untuk saya dilantik semula.
“Saya pasti pelantikan pesuruhjaya tidak sukar.
“Mereka (kerajaan) malah boleh melantik lebih ramai pesuruhjaya kerana undang-undang membenarkan sehingga 20 pesuruhjaya,” katanya.
Mah menambah beliau mahu Suhakam mengekalkan mementum kerja baik dalam melindungi hak asasi manusia.
Beliau berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melantik pesuruhjaya atas nasihat jawatankuasa pemilihan yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha kerajaan. – 27 April, 2022.
Komen