MEMBENARKAN pelarian dan pencari suaka di Malaysia bekerja secara sah akan membantu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja yang makin meruncing, kata kumpulan perniagaan.
Pelarian dan pencari suaka ini boleh mengisi kekosongan dalam industri makanan dan minuman, perladangan, pembinaan serta sektor pekerjaan 3D (kotor, bahaya, sukar), yang tidak diminati rakyat tempatan, tambah mereka.
Bagaimanapun, golongan ini boleh diambil bekerja secara sah hanya selepas beberapa perubahan dasar dilaksanakan.
Naib Presiden Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong berkata memberi pekerjaan kepada pelarian dan pencari suaka adalah cadangan yang baik sementara pekerja asing diambil dari negara lain.
“Ya, ia cadangan yang baik tetapi kita memerlukan pekerja untuk jangka masa panjang.
“Ia bagus kalau pelarian tinggal lama di Malaysia, tetapi kita tak tahu sama ada kerajaan akan terima mereka sebagai pekerja asing kerana perkara ini melibatkan dasar,” kata Chin kepada The Malaysian Insight.
Menurutnya lagi, sekiranya majikan menyediakan kemudahan tempat tinggal dan persekitaran kerja yang baik untuk pelarian dan pencari suaka, maka mereka adalah pilihan terbaik bagi memenuhi kekosongan pekerja asing.
“Mereka boleh bekerja dalam sektor 3D. Jika mereka mahir dalam kerja-kerja teknikal, mengapa tidak kita ambil mereka lakukan kerja asas?
“Kita juga memerlukan pekerja berkemahiran rendah, jadi mereka boleh mengisi kekosongan sedia ada,” jelasnya.
Tambah Chin, memberi peluang kepada pelarian dan pencari suaka bekerja secara sah secara tidak langsung membolehkan mereka menyara keluarga.

Minggu lalu, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin menyarankan kerajaan mendaftarkan tahanan baharu Rohingya dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan membenarkan mereka bekerja di negara ini.
“Tanpa perlu mengimport jutaan pekerja tidak berkemahiran melalui pelbagai MoU yang merumitkan, kumpulan pelarian ini boleh kita benarkan untuk bekerja.
“Ini akan membantu mereka membangun kemahiran, membiayai kehidupan sendiri dan mengurangkan beban kerajaan,” tulisnya di Facebook.
Pelarian tidak dibenarkan bekerja secara sah di negara ini kerana Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 serta tidak mengiktiraf status pelarian, menyebabkan mereka dianggap sebagai pendatang asing tidak berdokumen.
Bagaimanapun, Malaysia mempunyai dasar untuk tidak menghantar pulang pemegang kad UNHCR yang menunggu negara ketiga menerima mereka.
Baru-baru ini seramai 528 tahanan etnik Rohingya dilaporkan melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau Bandar Baharu, Kedah, dan enam daripada mereka termasuk dua kanak-kanak meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya semasa cuba melintas jalan di Lebuh Raya Utara Selatan.
Menteri Sumber Manusia M Saravanan bulan lepas berkata Putrajaya sedang mengusahakan garis panduan mengenai kebenaran untuk pelarian bekerja di Malaysia.
Dalam jawapan bertulis Parlimen, Saravanan berkata kementeriannya akan mengkaji sektor yang sesuai untuk pelarian bekerja dan memastikan kebenaran ini tidak akan menyebabkan persaingan dengan rakyat Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan.
Bagaimanapun, tiada garis masa diberikannya berhubung tarikh garis panduan ini akan diperkenalkan. – 27 April, 2022.
Komen