Singapura perlu pertimbang imej berhubung hukuman mati Nagaenthran, kata kumpulan sivil


Elill Easwaran

Ibu Nagaenthran sendiri akan mewakili anaknya dalam usaha terakhir menyelamatkan nyawa anaknya di Mahkamah Rayuan Singapura petang ini selepas tiada peguam sanggup ambil kes itu kerana denda dan hukuman berat yang dikenakan pihak berkuasa republik terhadap peguam yang mencabar hukuman mati. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 April, 2022

KUMPULAN masyarakat sivil yang berhimpun di Petaling Jaya malam tadi merayu kerajaan Singapura membatalkan hukuman gantung ke atas Nagaenthran K. Dharmalingam kerana mengedar dadah.

Simone Abel dari Capital Punishment Justice Project berkata republik itu perlu pertimbang imejnya di mata dunia apabila mahu teruskan pelaksanaan hukuman mati yang dijadualkan esok.

Bagaimanapun, Nagaenthran telah diberi peluang terakhir oleh Mahkamah Rayuan Singapura hari ini. Ibunya dilaporkan akan mewakili anaknya kerana tiada peguam yang sanggup mengambil kes itu berikutan denda dan hukuman berat yang dikenakan pihak berkuasa republik itu terhadap peguam yang mencabar hukuman mati kerana mengedar dadah.

Abel berkata Nagaenthran perlu diberi peluang pada perbicaraan hari ini.

“Singapura harus sedar apa yang digambarkannya kepada dunia dengan menggantungnya.

“Kami harap dia akan diberi pengampunan dan bukannya hukuman mati pada Rabu,” katanya.

Tambahnya Singapura juga perlu berhenti mengganggu dan menakut-nakutkan peguam yang mewakili Naegenthran.

Dr.Anjhula Mya Bais dari Amnesty International berkata Singapura, yang berbangga dengan kemodenannya, bertindak sebaliknya dengan mendesak hukuman mati.

“Hukuman mati adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan malah pelaksanaannya tidak ada tempat dalam masyarakat sivil.

“Singapura juga cuba untuk menghukum mati seorang lagi warga Malaysia Datchinamurthy Kataiah, 36, pada Jumaat walaupun dia berhadapan cabaran undang-undang yang belum selesai di Singapura yang mana ianya tidak sivil,” katanya.

Datchinamurthy didakwa menyeludup 44.96gm diamorphine ke Singapura pada 2011 dan dijatuhi hukuman mati pada 2015.

Angelia Pranthaman dari Segaran Kasih berkata ahli keluarga mereka yang dihukum mati tidak dapat berbuat apa dan perlukan sokongan moral dan solidariti orang ramai.

“Bukan mudah untuk ahli keluarga mendengar berita orang tersayang mereka akan dihukum bunuh.

“Saya pernah melalui situasi yang sama tetapi sangat menggembirakan melihat sokongan yang ditunjukkan untuk Naegenthran,” kata Angelia yang juga adik kepada banduan hukuman mati Malaysia di Singapura, Pannir Selvam Pranthaman.

Ibu Nagaenthran, Panchalai Supermaniam akan menghujahkan kes anaknya lewat hari ini berikutan kesukaran mendapatkan khidmat peguam Singapura.

Panchalai juga memfailkan sendiri kes itu di Mahkamah Rayuan Singapura semalam. Perkara itu ditetapkan untuk pendengaran pada 2.30 petang ini.

Nagaenthran, 34, mempunyai IQ 69, lebih rendah daripada skor purata yang layak bagi keupayaan intelek.

Dia ditangkap pada 2009 dan dijatuhi hukuman mati pada 2011 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah kerana mengimport 42.7g diamorphine secara haram.

Dia ditangkap dengan heroin yang diikat pada pahanya ketika memasuki negara itu dari Malaysia melalui pusat pemeriksaan Woodlands pada April 2009.

Nagaenthran pada asalnya dijadualkan menjalani hukuman gantung pada November tetapi ia mencetuskan kritikan kerana tahap IQ beliau dan peguamnya memfailkan cabaran di Mahkamah Rayuan. – 26 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen