Ibu fail permohonan cabar hukuman mati Nagaenthran


D Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin di Singapura pada 2009. Peguamnya mendakwa dia kurang upaya dari segi intelek. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2022. 

CABARAN undang-undang terakhir untuk mencabar hukuman mati D Nagaenthran akan didengar di mahkamah Singapura petang esok, hanya sehari sebelum hukuman gantung, kata Lawyers for Liberty (LFL).

Ketua penyelaras LFL Zaid Malek berkata ibu Nagaenthiran, Panchalai Supermaniam akan menghujahkan kesnya sendiri berikutan kesukaran mendapatkan khidmat peguam Singapura.

Panchalai juga memfailkan sendiri kes itu di Mahkamah Rayuan Singapura hari ini. Perkara itu ditetapkan untuk pendengaran pada 2.30 petang esok.

“Ibu Nagaenthiran tidak dapat mendapatkan khidmat peguam di Singapura bagi memfailkan cabaran itu dan oleh itu dia telah memfailkannya sendiri di mahkamah tanpa bantuan mana-mana firma guaman. Dia berbuat demikian dengan bantuan rakan dan aktivis,” kata Zaid.

“Ini adalah penafian terang-terangan terhadap perbicaraan yang adil dan tidak pernah didengari dalam sistem kehakiman Komanwel,” katanya.

Asas kepada cabaran undang-undang itu ialah Hakim Sundaresh Menon yang mengetuai dan menolak rayuan Nagaenthran sebelum ini merupakan Peguam Negara yang telah mendakwa Nagaenthran dan memastikan sabitannya.

“Pada perbicaraan pada Selasa jam 2.30 petang Panchalai tidak akan diwakili peguam, ini menunjukkan tentang proses kehakiman yang tidak adil di Singapura.

“Kami berharap Panchalai dan Nagaenthran akan berjaya esok,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan Singapura supaya mematuhi norma hak asasi manusia antarabangsa dan segera menghentikan hukuman gantung yang dijadualkan terhadap warga Malaysia yang cacat mental ini.

Mahkamah Rayuan Singapura pada 29 Mac menolak permohonan terakhir rayuan Nagaenthran terhadap pelaksanaannya.

Nagaenthran yang dilahirkan di Perak dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin di Singapura pada 2009. Peguamnya mendakwa dia kurang upaya dari segi intelek.

Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 November 2021 tetapi mendapat penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah diberitahu dia positif Covid-19.

Nagaenthran ditetapkan untuk dihukum mati pada Rabu ini. – 25 April, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen