SPRM serang badan kehakiman dengan menyiasat Nazlan, kata ahli Parlimen PKR


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata tindakan agensti antirasuah menyiasat Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali (gambar) merupakan satu bentuk pelanggaran prinsip pemisahan kuasa, yang juga satu serangan terhadap badan kehakiman. – Gambar Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, 25 April, 2022.

SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali merupakan satu serangan terhadap badan kehakiman, kata ahli Parlimen PKR Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

Kenyataan beliau itu mengulangi sentimen disuarakan presiden partinya Anwar Ibrahim yang mempersoalkan keperluan SPRM menyiasat Nazlan berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Hassan, yang juga ahli dalam Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR), salah satu badan pengawasan SPRM, berkata tindakan itu bertentangan dengan prinsip pemisahan kuasa.

“Apa yang dilakukan oleh SPRM sekarang bukan sahaja satu pelanggaran prinsip pemisahan kuasa antara badan eksekutif dan juga badan kehakiman, tetapi ia juga merupakan satu serangan sebuah agensi eksekutif ke atas badan kehakiman.

“SPRM sewajarnya tidak terlibat dengan usaha balas dendam pihak-pihak tertentu terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali,” katanya.

Nazlan merupakan hakim yang menyabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Blog Malaysia Today pada Rabu menyiarkan dakwaan Nazlan sedang disiasat kerana RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Sebelum menjadi hakim, Nazlan pernah menjadi peguam am dan setiausaha syarikat Maybank.

Semalam Anwar mempersoalkan SPRM atas siasatannya terhadap Nazlan, berkata badan kehakiman Malaysia mempunyai mekanisme dalaman untuk memantau dan menyiasat integriti hakim.

“Mekanisme ini disediakan untuk memastikan terdapat pengasingan kuasa yang sewajarnya. Oleh itu pembabitan SPRM dalam perkara ini melanggar prinsip ini,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu.

Beliau berkata, kebebasan dan integriti badan kehakiman semakin pulih selepas bertahun-tahun berada dalam keadaan kacau bilau dan pembabitan SPRM hanya boleh dilihat sebagai tekanan dan campur tangan politik.

Dalam pada itu Hassan turut mempersoalkan integriti agensi itu sendiri apabila gagal menyiasat Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kerana memperoleh berjuta-juta pembelian saham yang mencurigakan.

“Kepada SPRM, saya menyeru supaya memandang kepada diri SPRM sendiri. Beberapa laporan polis secara rasmi telah dibuat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam baki berkait isu pembelian saham yang mencurigakan yang menimbulkan kemungkinan berlaku satu kesalahan di bawah Akta SPRM.

“Saya berasa kesal sehingga ke hari ini, tidak ada siasatan dilakukan ke atas Azam Baki. Malah cadangan dari JKMR yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim agar Azam Baki direhatkan dengan bercuti supaya satu siasatan bebas dapat dilakukan langsung tidak dihiraukan oleh SPRM,” katanya. – 25 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen