Biar badan kehakiman siasat Nazlan, SPRM tidak perlu campur tangan, kata Anwar


Anwar Ibrahim menganggap pembabitan SPRM dalam kes hakim Nazlan Ghazali sebagai melanggar prinsip. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2022.

ANWAR Ibrahim mempersoalkan keperluan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali susulan harta kekayaan yang didakwa tidak dapat dijelaskan.

Ketua pembangkang itu dalam satu kenyataan berkata, badan kehakiman Malaysia mempunyai mekanisme dalaman untuk memantau dan menyiasat integriti hakim.

“Mekanisme ini disediakan untuk memastikan terdapat pengasingan kuasa yang sewajarnya. Oleh itu pembabitan SPRM dalam perkara ini melanggar prinsip ini,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu.

Beliau berkata, kebebasan dan integriti badan kehakiman semakin pulih selepas bertahun-tahun berada dalam keadaan kacau bilau dan pembabitan SPRM hanya boleh dilihat sebagai tekanan dan campur tangan politik.

SPRM membuka siasatan terhadap Nazlan berhubung dakwaan sejumlah wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Ketua pesuruhjaya badan pemantau antirasuah Azam Baki berkata, siasatan dijalankan berikutan beberapa laporan terhadap hakim itu.

“Kami membuka kertas siasatan kerana ada laporan dibuat, bukan kerana dakwaan dibuat dalam portal atau media sosial,” Azam dipetik sebagai berkata.

Nazlan adalah hakim yang menyabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Blog Malaysia Today pada Rabu menyiarkan dakwaan Nazlan sedang disiasat kerana RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Sebelum menjadi hakim, Nazlan pernah menjadi peguam am dan setiausaha syarikat Maybank. – 24 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen