PAS tidak perlu melayan isu gerakan menjatuhkan pemimpin Umno yang didakwa dari laporan sulit parti Islam itu kerana ia hanyalah satu bentuk surat layang, kata Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS itu berkata isu dari dokumen didakwa laporan sulit PAS mengenai percaturan politik bagi menghadapi pilihan raya itu juga bertujuan untuk menjatuhkan parti berkenaan.
Malah, isu yang dibangkitkan itu juga tiada kewibawaan kerana tindakan undang-undang juga tidak dapat dibuat.
“PAS tak perlu nafi sebab ia surat layang. Saya rasa hanya yang loyar buruk saja melayan surat layang ini, kerana dari segi undang-undang pun tidak lekat.
“Masalahnya siapa yang buat surat itu pun kita tak tahu. Jadi tiada guna kita layan surat layang ini, nanti kita sama-sama melayang,” katanya kepada pemberita di Marang.
Kandungan didakwa laporan sulit PAS itu tular pada minggu lepas dan dinafikan naib presidennya Ahmad Samsuri Mokhtar yang namanya turut dikaitkan dalam laporan itu.
Laporan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan Umno dan presidennya Ahmad Zahid Hamidi yang berhasrat untuk membuat laporan polis.
Mengulas mengenai itu, ahli Parlimen Marang itu berkata terpulang kepada Umno untuk membuat laporan polis.
Hadi berkata beliau juga tidak perlu mengulangi penafian kerana ia sudah dilakukan oleh Ahmad Samsuri.
Pada masa sama beliau berkata laporan itu sama sekali tidak menggugat hubungan parti dengan rakan komponen Perikatan Nasional.
Beliau berkata PAS sentiasa mengadakan perbincangan dengan rakan politiknya yang lain.
Dokumen bertajuk “Laporan Political Engagement PAS Pusat” dan bertanda sulit itu tersebar melalui blog dan media sosial.
Ia didakwa mencatatkan pertemuan berasingan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dengan pemimpin politik tiga parti Melayu.
Pertemuan berkenaan didakwa berlangsung antara hujung Mac hingga awal April.
Ia mendakwa, kedua-duanya bertemu dengan Mohamed Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin dari Bersatu, serta Hishammuddin Hussein dan Ahmad Masrizal Muhammad dari Umno.
Samsuri juga didakwa bertemu Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad secara bersendirian di kediaman bekas perdana menteri di Seri Kembangan.
Hasil pertemuan berkenaan, laporan itu mencatatkan maklumat mengenai wujudnya dua kem dalam Umno iaitu “kem Putrajaya” dan “kem PWTC”.
Dua kem itu dilaporkan sebagai kumpulan pro-Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan juga yang menyokong Zahid.
Kedua-duanya dilaporkan berselisih pendirian mengenai masa yang sesuai untuk diadakan pemilihan parti, sebelum atau selepas PRU15.
Laporan itu juga menyebut rancangan Umno untuk mengadakan perhimpunan khas bagi meminda perlembagaan parti berkenaan tempoh pemilihan parti.
Selain itu, ia juga mencatatkan gerakan untuk menamakan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri Barisan Nasional bagi kempen PRU15. – 22 April, 2022.
Komen