Dokumen sampah, kata Ahmad Samsuri


Diyana Ibrahim

Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan kandungan laporan sulit PAS Pusat yang kononnya mendedahkan gerakan mahu menjatuhkan pimpinan tertinggi Umno.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2022.

NAIB Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan kandungan laporan sulit PAS Pusat yang kononnya mendedahkan gerakan mahu menjatuhkan pimpinan tertinggi Umno dan percaturan politik menuju Pilihan Raya Umum ke-15.

Katanya, dokumen itu “sampah” dan dibuat oleh “orang yang tidak ada kerja”.

Dokumen bertajuk “Laporan Political Engagement PAS Pusat” dan bertanda sulit itu tersebar melalui blog dan media sosial sejak awal minggu ini. Ia mencatatkan pertemuan berasingan Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dengan pemimpin politik tiga parti Melayu antara hujung Mac hingga awal April.

“Dokumen itu dokumen sampah, macam itu pun ada orang percaya juga.

“Memang dakwaan itu tidak benar. Dokumen yang bocor itu sampah bagi saya,” katanya kepada wartawan selepas program penyampaian biasiswa pelajar cemerlang di Kuala Terengganu, hari ini.

Menteri Besar Terengganu bagaimanapun mengakui pertemuan yang dinyatakan pada dokumen itu berlaku tetapi bukan untuk menjatuhkan pemimpin Umno.

“Pertemuan dengan pemimpin itu ada tapi atas kapasiti berbeza. Mereka tahu ada pertemuan itu maka dibuat dalam naratif berbeza dan direka-reka.

“Saya rasa mereka yang membuat dakwaan ini tidak ada kerja lain,” tambahnya.

Ahmad Samsuri juga berkata beliau tidak akan mengambil tindakan undang-undang berhubung penyebaran dokumen berkenaan kerana “tidak berasas”.

Menurut laporan itu, Ahmad Samsuri dan Takiyuddin bertemu dengan Mohamed Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin dari Bersatu, serta Hishammuddin Hussein dan Ahmad Masrizal Muhammad dari Umno.

Ahmad Samsuri juga bersendirian bertemu Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad di kediaman bekas perdana menteri di Seri Kembangan.

Daripada pertemuan-pertemuan itu, laporan itu mencatatkan maklumat mengenai wujudnya dua kem dalam Umno iaitu “kem Putrajaya” dan “kem PWTC”.

Dua kem ini, yang sebelum ini dilaporkan sebagai kumpulan pro Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pro Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berselisih pendirian mengenai masa yang sesuai untuk diadakan pemilihan parti, sebelum atau selepas PRU15.

Laporan itu juga menyebut rancangan Umno untuk mengadakan perhimpunan khas bagi meminda perlembagaan parti berkenaan tempoh pemilihan parti. Ia juga mencatatkan gerakan untuk menamakan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri Barisan Nasional pada PRU15.

Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat minggu lalu sepakat menamakan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri PRU15. Mesyuarat itu juga menetapkan perhimpunan khas bagi meminda perlembagaan parti pada 15 Mei ini.

Hasil siri pertemuan tersebut, laporan itu turut merumuskan Ismail Sabri dalam keadaan yang tidak cukup kuat dan untuk itu, pimpinan tertinggi Umno perlu dilemahkan.

Ia menyebutkan perlunya Ahmad Zahid segera disabitkan kesalahan atas tuduhan mahkamah yang dihadapinya sementara dakwaan salah laku timbalannya Mohamad Hasan disiasat semula.

Laporan itu turut menggariskan enam langkah politik yang perlu diambil oleh PAS untuk menghadapi PRU15 sekiranya pemilihan Umno tidak diadakan lebih awal sebelum itu. – 20 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen