Umno cadang Ismail Sabri calon PM bagi PRU15


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada majlis berbuka puasa selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 April, 2022.

MAJLIS Tertinggi Umno setuju cadangkan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri bagi pilihan raya umum akan datang. 

Pengumuman itu dibuat semasa majlis berbuka puasa parti yang berlangsung selepas mesyuarat majlis tertinggi parti di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur hari ini.

Setiausaha Agung Ahmad Maslan dalam satu kenyataan ringkas juga berkata memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) tidak harus dilanjutkan selepas tamat pada 31 Julai.

MoU kerajaan dan PH yang dimeterai pada 13 September 2021 berkuatkuasa sehingga Parlimen bubar, tetapi pada masa sama menetapkan Parlimen tidak boleh dibubar sebelum 31 Julai ini.

“Pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkannya mahupun cubaan untuk merubah maksudnya kepada bentuk perundangan yang lain.

“Umno berpendirian bahawa Akta Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati,” kata Ahmad Maslan.

Sementara itu, parti itu berkata akan mengadakan persidangan perwakilan khas pada 14 Mei ini bagi meminda perlembagaan parti.

Ahmad Maslan berkata pindaan itu adalah dalam penggal pemilihan parti.

Pada perhimpunan agung Umno bulan lepas, perwakilan meluluskan resolusi agar parti itu mengadakan pemilihan selepas pilihan raya umum. – 14 April, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen