EXCO Pulau Pinang Lim Hock Seng tidak ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata peguamnya.
R.S.N Rayer berkata Lim hanya diminta untuk memberi kenyataan sebagai saksi dalam siasatan SPRM terhadap projek terowong dasar laut dan lebuh raya negeri itu.
“Beliau tak ditahan. Semalam beliau diberi notis supaya hadir dan beri keterangan sebagai saksi.
“Ketika ini rakamannya masih direkod,” Rayer memberitahu pemberita di luar ibu pejabat SPRM Pulau Pinang petang tadi.
Lim adalah exco yang bertanggungjawab ke atas kerja-kerja awam, pengangkutan dan utiliti. Beliau merupakan pemimpin kerajaan negeri pertama yang dipanggil SPRM untuk membantu siasatan terhadap projek itu.
Awal bulan lalu, SPRM melancarkan siasatan terhadap projek itu selepas menyerbu pejabat beberapa jabatan kerajaan negeri, syarikat bertujuan khas (SPV) yang menjalankan projek dan syarikat swasta yang berurusan dengan SPV.
Menurut Rayer, Lim dilayan baik sejak tiba di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang sejak jam 9 pagi.
“Makan tengah hari dan malam disediakan.
“SPRM mungkin boleh selesaikannya malam ini. Kami akan diberitahu nanti. Mereka boleh mintanya datang semula esok sekiranya perlu.”
Rayer berkata beliau juga akan menemani Timbalan Ketua Menteri II Dr P. Ramasamy jika dipanggil untuk memberi kenyataan pada jam 9 esok.
Ramasamy dilaporkan berkata beliau telah diminta untuk membantu siasatan terhadap projek infrastruktur negeri.
Terdahulu, apabila ditanya jika akan ada lagi pemimpin kerajaan negeri dipanggil selepas Lim dan Ramasamy, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki berkata: “Bergantung kepada hasil siasatan.” – 13 Februari, 2018.
Komen