SPRM soal siasat exco Pulau Pinang berhubung projek terowong dasar laut


Exco Kerja Raya Pulau Pinang Lim Hock Seng disoal siasat di ibu pejabat SPRM negeri di di Jalan Sultan Ahmad, George Town. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 13 Februari, 2018.

EXCO Kerja Raya Pulau Pinang Lim Hock Seng kini disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek projek teowong dasar laut negeri, lapor The Star.

Memetik sumber, laporan menyebut proses itu dijalankan oleh satu pasukan dari Putrajaya, di ibu pejabat SPRM negeri.

Akhbar itu juga melaporkan Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy akan disoal siasat esok berhubung perkara yang sama di pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad pada jam 9 pagi.

Ramasamy berkata pegawia-pegawai SPRM berada di pejabatnya pada pagi Isnin dan telah mengambil kalendar yang mempunyai jadualnya dari 2012 hingga 2014, namun tiada sebarang fail diambil.

Pada jam 1.56 petang tadi, The Malaysian Insight dimaklumkan sesi soal siasat Hock Seng masih berlangsung.

Pejabat Ketua Menteri juga memaklumkan kepada The Malaysian Insight yang SPRM masih belum bertemu mereka untuk menyoal Lim Guan Eng.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki mengesahkan kepada The Malaysian Insight bahawa Hock Seng dan Ramasamy telah dipanggil untuk disoal siasat.

Apabila ditanya siapakah lagi yang akan dipanggil, Azam berkata ia bergantung kepada maklumat yang diperolehi dari siasatan.

Terowong dasar laut yang dicadang dibina dari Bagan Ajam di Butterworth ke Persiaran Gurney di George Town merupakan sebahagian daripada projek yang lebih besar berniai RM6.3 bilion.

Ia termasuk tiga lebuh raya bagi mengurangkan kesesakan di Pulau Pinang.

Projek itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd pada 2013 dan firma China, China Railway Construction Corporation (CRCC) telah menandatangani perjanjian sebagai perunding kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan perancangan bagi projek itu.

Bagaimanapun, pada September 2016, BUCG meninggalkan konsortium selepas sebuah kren di tapak pembinaannya di Kuala Lumpur tumbang dan meragut nyawa seorang pemandu kereta.

Kemudian, Zenith Construction mengambil alih 95% saham BUCG dalam konsortium.

Konsortium itu kini dikenali sebagai Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Dalam entri blognya pada Jumaat, Perdana Menteri Najib Razak berkata projek itu satu pembaziran.

Guan Eng mempersoalkan mengapa “tiba-tiba” Najib menyifatkan projek itu membazir sedangkan beliau  sendiri yang menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Pulau Pinang dan syarikat China, Beijing Urban Construction Group (BUCG) untuk mengambil alih projek berkenaan. – 13 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen