KETUA Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sekali lagi mempersoal kebebasan dan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah agensi itu menyoal dua exco negeri itu berhubung projek lebuh raya dan terowong dasar laut.
Katanya, jika didapati SPRM mahu “memerangkap” pentadbiran Pakatan Harapan, kerajaan negeri akan bertindak menentang usaha agensi itu melalui jalan mahkamah.
Lim berkata demikian sebagai respon kepada siasatan SPRM yang menyoal exco kerja raya Pulau Pinang Lim Hock Seng pagi tadi.
Esoknya pula agensi itu akan menyoal Timbalan Ketua Menteri II Dr P. Ramasamy.
Ujar Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, exco yang disiasat itu diarahkan untuk memberi kerja sama sepenuhnya kepada SPRM, sedangkan agensi itu bersikap “berat sebelah.”
“Sekali lagi saya nak soal, apa SPRM buat? Kenapa SPRM cuba memerangkap kerajaan negeri? Kalau mereka nak siasat, buatlah secara bebas.
“Pegawai-pegawai kami akan beri kerja sama sepenuhnya. Tapi, kalau mereka nak perangkap kami, kami akan lawan, bawa ke mahkamah,” katanya.
SPRM telah menyiasat projek pembangunan di pulau mutiara itu sejak awal bulan lalu. Agensi itu turut menyerbu beberapa jabatan kerajaan negeri, syarikat bertujuan khas (SPV) yang mengendalikan projek itu, selain beberapa syarikat swasta yang berurusan dengan SPV.
Malah, bagi membantu siasatan, SPRM turut mereman pegawai tinggi SPV, seorang pengarah firma pembangunan dan beberapa orang perunding, yang kemudiannya dibebaskan.
Bulan lalu, akhbar arus perdana memetik sumber terdekat dengan siasatan itu bahawa beberapa politikus menerima hasil bernilai jutaan ringgit kerana membantu “bekerjasama” dalam projek berkenaan.
Kata Lim, wartawan New Straits Times memberitahunya yang sumber yang membocorkan perkara itu merupakan anggota SPRM sendiri.
Justeru, Lim menuduh SPRM telah hilang kredibilitinya.
“Wartawan Barisan Nasional (BN) sendiri mengaku sumber yang membocorkan itu orang SPRM sendiri.
“Apa SPRM buat. bocorkan maklumat siasatan kepada media? Kita dah tanya sebelum ini, tapi tak dijawab.
“Kenapa awak buat kerja kotor BN? Adakah awak senjata rahsia BN untuk jatuhkan kerajaan Pulau Pinang dengan tuduhan tak berasas oleh BN?
“Ini mengarut. Memalukan.. Awak sedang buat siasatan bebas atau penganiayaan politik?” katanya.
Lim turut mempersoal kenapa SPRM tidak pernah mengambil berat dengan projek mega yang diadakan secara tender langsung seperti projek Laluan Rel Pantai Timur oleh kerajaan persekutuan.
“Saya tahu mereka mungkin akan bertindak terhadap saya sebab bercakap tentang hal ini. Saya sedia menunggu.
“Mereka nak siasat projek tender terbuka, bukannya projek tender-langsung. Bukankah ini satu bentuk penganiayaan politik?
“Biarlah rakyat tentukan,” tambahnya.
Lim mengulang kembali yang tidak ada rasuah dalam projek kerajaan negeri Pulau Pinang yang dianugerahkan pada 2013 melalui tender terbuka kepada SPV yang kini dikenali sebagai Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd.
“Kalau mereka kata kita menipu, okay lah. Mungkin ada penipuan dalam mana-mana syarikat atau transaksi.
“Tetapi, bagaimana pula dengan rasuah dalam tender terbuka kecualilah awak mengandaikan yang orang dalam lembaga tender itu perasuah?”
Sebelum ini Lim berkata yang barisan lembaga pengarah untuk tender itu terdiri daripada pegawai kerajaan negeri dan dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri.
Tidak ada politikus dalam lembaga itu. – 13 Februari, 2018.
Komen