Sudah 3 tahun 200 keluarga di Kedah alami krisis air


Ravin Palanisamy

Penduduk Kampung Sungkap Para di Bedong mendakwa mereka sudah tidak mendapat bekalan air yang stabil sejak 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 April, 2022.

SEJAK tiga tahun kebelakangan ini 200 keluarga di Bedong, Kedah terpaksa bertahan dengan azab kehidupan tanpa bekalan air yang cukup. 

Penduduk Kampung Sungkap Para di Bedong mendakwa mereka sudah tidak mendapat bekalan air yang stabil sejak 2019.

Penduduk yang kebanyakannya pekerja ladang kelapa sawit itu berkata mereka sentiasa bergelut untuk dapatkan air untuk minuman, memasak, kebersihan diri dan kemudahan sanitasi.

Walaupun telah membuat beberapa aduan kepada pihak berkuasa air negeri Syarikat Air Darul Aman (Sada), mereka berkata tiada apa yang dibuat bagi membetulkan perkara itu secara kekal.

Seorang penduduk di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Ramu berkata Sada kini menghantar lori tangki air ke kampung itu tetapi tiada penyelesaian jangka panjang untuk membekalkan mereka dengan bekalan air tetap.

“Masalahnya bermula pada 2019. Sebelum itu kami pernah alami aliran air yang stabil dan tiada masalah.

“Apabila isu itu bermula, kami buat beberapa aduan kepada Sada tetapi mereka bagi banyak alasan, tanpa penyelesaian tetap kepada masalah ini.

“Mereka kata ia disebabkan isu pam air, paip air sudah lama, dan mereka tidak dapat peruntukan untuk tukar atau baikinya. Mereka juga dakwa kilang di sepanjang jalan ke kampung kami ini banyak mengambil air.

“Namun sehingga hari ini tiada apa yang dibuat untuk selesaikan perkara ini. Mereka cuma beri kami air dalam lori tangki,” kata bapa kepada dua anak itu kepada The Malaysian Insight.

Ramu berkata, Sada malah mencadangkan kepada penduduk supaya mempunyai tangki air sendiri di rumah tetapi katanya tidak semua orang mampu.

Beliau berkata, tanpa pilihan lain, mereka masih perlu bergantung kepada lori tangki air Sada.

“Kami diberitahu untuk pasang tangki air sendiri di setiap rumah supaya Sada boleh hantar lori tangki dan isi tangki berbanding mereka datang selang beberapa hari untuk hantar air.

“Apa yang mereka tidak faham, bukan semua yang tinggal di sini kaya raya, jadi bukan semua orang mampu pasang tangki air sendiri di rumah.

“Jadi, setiap kali lori tangki datang, warga emas perlu bawa baldi air ke dalam rumah. Dengan kebanyakan lelaki bekerja, ini perlu dibuat oleh wanita di rumah. Susah bagi mereka,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Jenaki, berkata beberapa penduduk pernah ke pejabat Sada pada 10 April berhubung perkara itu selepas semakin kecewa dengan isu tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata, pegawai di Sada tidak begitu membantu dan terus meminta penduduk pasang tangki air sendiri.

“Mengapa kita mesti membeli atau pasang tangki air sendiri? Ini adalah hak asas di mana semua orang berhak.

“Kami tidak pernah berhadapan isu sebegini tetapi hanya dalam tempoh tiga tahun lepas sahaja baru kami berhadapan masalah air,” kata ibu kepada seorang anak itu.

Jenaki berkata, beliau telah berhubung dengan Sada sejak isu air bermula tetapi mendakwa tidak banyak berubah.

Pada Rabu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy mengecam kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS kerana gagal selesaikan masalah air.

Ramasamy berkata penduduk Kampung Sungkap Para di Bedong mengalami masalah bekalan air sejak 2019, tetapi masih terus menerima bil penggunaan air.

Ramu bersetuju dengan Ramasamy, berkata mereka masih dapat bil air. – 15 April, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen