KERAJAAN negeri Kedah pimpinan PAS dikecam lagi oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P. Ramasamy berhubung kegagalannya menyelesaikan masalah bekalan air yang sekian lama berlaku.
Ramasamy berkata Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Osman sepatutnya terlebih dulu menyelesaikan masalah bekalan air di negerinya, sebelum bertelagah dengan negeri jiran, Pulau Pinang berhubung sumber air.
“Sudah lama, penduduk di pelbagai kawasan di Kedah berdepan masalah bekalan air,” kata wakil rakyat DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.
“Di sesetengah kawasan di Kedah, penduduk tidak menerima bekalan air sejak 2019. Antara kawasan terjejas ialah Bedong. Lebih 200 penduduk di Bedong tiada bekalan air sejak lebih tiga tahun lalu.”
Pihak berkuasa air Kedah, Syarikat Air Darul Aman (Sada) memberikan alasan remeh atas kegagalannya, antaranya ialah kerana paip air sudah lama dan cenderung untuk bocor, kata Ramasamy.
Ramasamy berkata penduduk Kampung Sungkap Para di Bedong mengalami masalah bekalan air sejak 2019, tetapi masih terus menerima bil penggunaan air.
“Bagaimana ada bil air sedangkan tidak ada bekalan air? Perkara ini perlu dijelaskan oleh pihak berkuasa kedah.
“Selain bekalan terputus-putus, hampir tiada langsung bekalan air untuk 40 keluarga di tempat ini. Aduan dibuat kepada Sada dan pihak lain, tetapi tiada tindakan.
“Cukup pelik, kira-kira 200 meter dari Kampung Sungkap Para, penduduk tidak ada masalah mendapatkan bekalan air mencukupi,” katanya.
Beliau bertanya adakah kerajaan negeri Kedah sengaja tidak memberikan bekalan air kepada penduduk Kampung Sungkap Para.
“Adakah ini diskriminasi dilakukan pihak berkuasa air di Kedah, kerana kawasan itu terletak dalam kawasan pembangkang?
“Adakah kerajaan negeri PAS menggunakan air sebagai senjata terhadap penduduk di Kampung Sungkap Para?” – 13 April, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen