MENTERI Luar Saifuddin Abdullah sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh atas masalah yang timbul semasa lawatan perdana menteri ke Emiriah Arab Bersatu, yang membawa kepada tindakan Putrajaya memanggil pulang dua diplomat kanan Malaysia, kata Anifah Aman.
Anifah berkata kalau beliau sendiri menteri luar, beliau akan menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lain.
“Mereka tidak sepatutnya dipanggil balik tergesa-gesa. Saya ragu bagaimana diplomat kanan dan berpengalaman terlepas pandangan perkara penting terutama apabila melibatkan perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan.
Anifah adalah menteri luar dalam pentadbiran Najib Razak antara 2009 hingga 2018.
Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai dipanggil pulang selepas didakwa gagal menyelaras lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke UAE, hujung bulan lepas.
Dalam kenyataan pada Isnin, Wisma Putra berkata kegagalan mereka menyebabkan Ismail Sabri “terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai.”
Liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked untuk perdana menteri juga tidak disediakan mengikut amalan biasa, kata Wisma Putra.
Menurut Anifah, kebiasaannya sebelum lawatan rasmi perdana menteri ke luar negara, menteri luar akan ke negara berkenaan terlebih dahulu untuk menguruskan hal-hal berkaitan lawatan itu.
“Kalau saya menteri luar, saya akan ambil tanggungjawab penuh atas kekurangan yang berlaku semasa lawatan perdana menteri.
“Ini malu besar untuk negara. Seorang menteri harus sentiasa bertanggungjawab atas kekurangan kementeriannya dan mesti mempertahankan pegawainya,” katanya.
Anifah berpandangan tindakan Malaysia memanggil pulang diplomat kanannya sendiri memberikan imej yang tidak baik, seolah-olah tidak mampu menguruskan urusan biasa seperti lawatan ketua kerajaan.
Beliau yang juga presiden Parti Cinta Sabah malah yakin dengan pengalaman duta dan diplomat kanan yang ditugaskan ke pejabat kedutaan Malaysia di luar negara.
“Perkara macam ini jarang berlaku dan kalau berlaku pun ia boleh dielak sekiranya menteri luar ke UAE sebelumnya untuk memantau sendiri persiapan lawatan perdana menteri,” katanya.
Lawatan awal menteri luar sebelum kunjungan rasmi perdana menteri, jelas Anifah, adalah sebahagian daripada tugas menteri luar.
“Kalau menteri tidak buat lawatan awal, beliau tidak sepatutnya setuju atau mengarahkan dua diplomat itu dipanggil pulang,” tambahnya.
Anifah juga berkata mengikut amalan biasa setiap lawatan rasmi perdana menteri ke luar negara didahulukan dengan taklimat di peringkat Kementerian Luar melibatkan Pejabat Perdana Menteri, diikuti lawatan awal menteri luar dan pasukan pegawai.
Satu taklimat akhir juga akan dibuat di negara berkenaan sebelum perdana menteri tiba, katanya.
Tindakan Putrajaya memanggil pulang dua diplomat kanan itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan warga Wisma Putra, sementara bekas diplomat juga dilapor akan menyerahkan nota bantahan kepada Saifuddin. – 12 April, 2022.
Komen