KERAJAAN perlu teliti dan memberi penumpuan kepada cadangan pindaan Perlembagaan mengenai antilompat parti bagi mengelakkan sebarang kemungkinan penyalahgunaan pada masa depan, kata P Ramasamy hari ini.
Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang berkata penting bagi pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tidak tersasar daripada objektif asal – iaitu untuk mengelakkan lompat parti.
Kerajaan akan membentangkan cadangan pindaannya dalam sidang khas Parlimen esok.
Walaupun pindaan itu tidak melarang ahli Parlimen menukar parti serta-merta, kerajaan berkata pindaan itu akan membolehkan ia membentangkan akta kendiri yang lebih substantif untuk mengawal lompat parti.
“Memang ada kebimbangan pindaan Perkara 10 Perlembagaan mungkin memberi terlalu banyak kuasa kepada kerajaan.
“Kerajaan mungkin menggunakan pindaan itu untuk menghukum wakil rakyat atas sebab selain daripada antilompat parti.
“Kebimbangan itu mungkin berlebihan, tetapi perkara lalu adalah peringatan yang undang-undang berniat baik mungkin disalahgunakan,” kata pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan.
Beliau berkata sentiasa ada kebimbangan yang tanggapan antilompat parti mungkin ditafsir secara meluas, menyebabkan kebimbangan dan ketakutan kemungkinan berlaku penyalahgunaan.
“Inilah sebabnya pembangkang, walaupun menyokong langkah kerajaan meminda Perlembagaan, mahu ia tepat dan fokus kepada antilompat parti dan tidak tersasar daripada objektif asal,” katanya.
Ramasamy berkata terdapat keperluan undang-undang antilompat parti kerana terdapat kebimbangan pada pilihan raya umum akan datang, satu atau dua parti mungkin menyalahgunakan kebebasan berpersatuan untuk menarik wakil rakyat berpihak kepada mereka.
“Walau apa pun alasannya, menguatkuasakan undang-undang antilompat parti bermakna memberi penghormatan dan maruah kepada demokrasi.
“Kepercayaan yang diberikan pengundi dalam memilih calon tidak boleh dicabuli oleh sumpahan politik wang.”
Ramasamy berkata kerajaan mesti memberikan tarikh sebenar selepas sidang khas Parlimen esok untuk membahaskan dan meluluskan undang-undang antilompat parti.
Penganalisis memberitahu The Malaysian Insight yang pindaan esok akan memberi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ruang bernafas yang beliau perlukan daripada pemimpin tertinggi Umno yang mendesak pilihan raya umum segera tahun ini dan membolehkan beliau mempertahankan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatanganinya dengan Pakatan Harapan ( PH).
“Pindaan ini bermakna Ismail Sabri berjaya capai apa yang Majlis Tertinggi Umno tuntut daripadanya selepas beliau jadi perdana menteri,” kata Dr Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia.
Kamarul menambah yang pindaan itu akan membolehkan undang-undang antilompat parti digubal.
“Tiada yang menentang pindaan Perkara 10 kerana menentangnya bermakna tidak setuju dengan undang-undang lompat parti.
“Apa yang sesetengah pihak terutamanya PN bantah hanyalah butiran mengenai lompat parti,” kata pensyarah sains politik itu. – 10 April, 2022.
Komen